Tidak sah wuduk jika tidak hilangkan ‘makeup’ di muka
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
Tanyalah kepada mana-mana wanita, sudah pasti mereka mahu tampil cantik walau dimana mereka berada. Kecantikan sangat sinonim dengan golongan ini kerana ia didefiniskan sebagai suatu yang indah dan menarik.
Namun dalam kita berhias untuk kelihatan cantik, kita perlu mengambil kira terhadap wuduk.
Sekiranya, mengambil wuduk dalam keadaan memakai produk penjagaan muka seperti pelembab dan krim pelindung matahari, adakah sah wuduk kita?
Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan hadis daripada Abdullah bin `Amr RA berkata yang bermaksud:
“Kami pulang bersama-sama Rasulullah ﷺ dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah ﷺ bersabda: Celakalah buku lali mereka disebabkan oleh neraka! Oleh itu, berwuduk’lah kamu dengan sempurna.” Riwayat al-Bukhari
Hadis seterusnya yang bermaksud:
“Seorang lelaki berwuduk’ dan telah tertinggal basuhan pada kuku kakinya yang dilihat oleh Rasulullah ﷺ, lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan mendirikan solat.” Riwayat Muslim
Dapat kita lihat melalui hadis di atas, Rasulullah SAW menegaskan tidak sah wuduk sekiranya terdapat anggota yang wajib berwuduk tidak dibasuh walaupun sedikit.
Oleh itu, sekiranya ada sesuatu yang menghalang air daripada sampai kepada kulit menjadikan wuduk itu tidak sah.
Sebagai contoh, wanita yang menggunakan pelembab muka atau krim pelindung tetapi tidak dibersihkan dengan betul akan menghalang air wuduk lalu di anggota wuduk maka, wuduk itu tidak sah.
Selain itu, antara syarat sah wuduk adalah, tiada suatu pada anggota wuduk yang boleh mengubah air yang sampai kepadanya.
Justeru itu, jika terdapat pada anggota wuduk suatu bahan kosmetik yang menghalang air wuduk daripada sampai ke kulit, atau yang mengubah air wuduk itu, maka wajib ditanggalkan dengan sempurna sebelum mengambil wuduk.
Pendek kata, Islam sangat menitikberatkan perihal kebersihan sebagai kunci ibadat kepada Allah SWT. Apabila mendirikan solat, seorang muslim itu perlu dalam keadaan bersih serta suci dari segi tubuh badan, pakaian, dan tempat solat.