KLANG : Jenazah Covid-19 di Selangor tidak perlu melalui proses tayamum sekiranya memberi risiko jangkita kepada pihak yang melakukan proses berkenaan.
Menurut Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Ophir, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 7 Ogos lalu dan telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Ogos.
“Sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) di bahagian forensik mengatakan ada risiko untuk mandikan jenazah secara fizikal dan tayamum, maka tidak perlu lagi untuk ditayamumkan di atas beg jenazah itu. Hanya perlu dikafankan, disolatkan dan dikebumikan,” katanya.
Beliau berkata, gugur kewajipan untuk memandikan atau tayamum jenazah tersebut sekiranya KKM berpandangan bahawa ia boleh memberi risiko, namun keputusan risiko itu adalah ditentukan oleh setiap jabatan forensik, di hospital masing-masing di Selangor.
“Sekiranya pihak hospital berkata ada risiko jangkitan untuk mandikan secara fizikal biasa, tayamum pun ada risiko itu maka gugur kewajipan, maknanya tidak perlu untuk ditayamumkan di atas beg jenazah,” katanya.
-BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar