MANUSIA tidak perlu berbangga dengan harta yang dikumpul, sebaliknya meningkatkan amal ibadah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH Taala.
Itulah kata akhir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Allahyarham Al Fadhil Ustaz Haji Mustafa Omar yang meninggal dunia selepas selesai memberi ceramah subuh di Masjid At-Taqwa Taman Utama Pulai, Johor Bahru pada Rabu.
Pada akhir ceramahnya, Allahyarham turut berpesan-pesan tentang kematian dengan menyatakan ia pasti berlaku.
Pengarah JAINJ, Jamaludin A Hamid berkata, difahamkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 pagi, dipercayai akibat serangan jantung selepas pulang ke rumah akibat sesak nafas.
Menurutnya, jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, Muar.
“Allahyarham seorang yang baik keperibadiannya, masuk kerja sama dengan saya lebih kurang tahun 1997 iaitu 26 tahun berkhidmat”.
“Beliau seorang yang berilmu dan sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal lebih kurang 6 tahun, beliau mahir dalam bidangnya,” ceritanya kepada SINAR.
Kematian yang dicemburui husnul khatimah, Allahyarham sempat menyelesaikan tugas memberi ceramah subuh sempena Sambutan Maal Hijrah di Masjid At-Taqwa malah ceramahnya disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi masjid itu.
إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن