Tidak mendapat tajaan untuk ke olimpik, pelumba BMX ini tetap memperoleh pingat emas
Bethany Shriever buktikan dia mampu
TOKYO : Kos untuk ke Olimpik Tokyo tidak murah. Majoriti atlet dari seluruh dunia ditanggung oleh pihak kerajaan ataupun ditaja oleh pihak swasta. Namun ada juga atlet yang tidak mendapat tajaan daripada mana-mana pihak dan terpaksa mencari dana sendiri.
Selain Riley Day atlet Australia yang terpaksa bekerja di pasar raya bagi membiayai kos ke olimpik, pelumba BMX Britain, Bethany Shriever yang di Olimpik Tokyo 2020 juga tidak mempunyai tajaan daripada mana-mana pihak.
Walaupun tidak mendapat tajaan, itu tidak menghalang beliau daripada mendapat pingat emas dalam acara perlumbaan BMX wanita.
Kisahnya mirip dengan Riley Day yang bekerja ‘part time’ di pasar raya bagi mengumpulkan dana untuk berangkat ke Olimpik.
Bezanya, Shriever menggunakan platform ‘GoFundMe’ bagi mendapatkan dana, dan bekerja sebagai pembantu guru kanak-kanak, tiga hari seminggu dan kemudian terus ke gym atau trek bagi berlatih.
Shriever merupakan adalah atlet Program Basikal British. Namun lembaga yang bertanggungjawab atas pendanaan atlet Olimpik dan Paralimpik, memutuskan hanya akan mendanai atlet lelaki.
Shriever mengatakan, pemotongan dana itu ‘sangat mengejutkan dan tiba-tiba’.
Sedangkan, atlet berusia 22 tahun tersebut telah memenangi banyak kejohanan BMX yang beliau sertai baik di Britain mahupun di peringkat antarabangsa.
Sukan BMX mula dipertandingkan di Olimpik Beijing pada 2008. Namun, tidak ada pelumba Britain yang pernah mendapat pingat emas dalam acara BMX Olimpik.
“Mencari wang untuk perjalanan dan perlumbaan itu sukar dan sedikit membuat stres,” katanya kepada BBC Sport.
“Sekolah, yang juga tempat kerja ibu saya, benar-benar hebat dalam memberikan saya waktu cuti untuk bertanding,” katanya. “Mereka sangat mendukung dan saya menyukainya.”
“Kami menghitung berapa belanja untuk musim ini dan untuk sampai ke Olimpik, dan itu jauh daripada anggaran yang kami fikirkan,” katanya kepada BBC Essex.
Dia mengira kosnya mencecah 50,000 pounds (RM292,938.38) untuk bersaing di Olimpik Tokyo, dan khuatir tidak mampu mendapatkan dana sebanyak itu.
“Kadangkala ia memberi tekanan perasaan, bertanya-tanya dari mana wang itu akan datang, tetapi hasilnya membuat semuanya berharga,” kata atlet itu kepada BBC Sport pada 2018.
Nasib Shriever kemudian berubah selepas mendapat khabar ada beberapa kelab dan sekolah mengadakan pengumpulan dana untuknya.
“Pesaing saya dari seluruh dunia, berlatih setiap hari dan mendapat tajaan, jadi saya satu-satunya pelumba yang tidak mendapat banyak bantuan,” ungkap Shriever.
“Ini meresahkan saya dan saya tidak ingin impian untuk bertanding di Tokyo direnggut hanya kerana wang.”
Pengumpulan dana dan komitmennya terhadap BMX membuahkan hasil. Shriever tidak sekadar sampai di Tokyo, tetapi juga memenangi ketiga-tiga perlumbaan kelayakan.
Kemudian, dia memperoleh pingat emas, mengalahkan juara dunia dan juara bertahan Mariana Pajon dari Colombia yang menjadi idola semasa kecil.
“Jujur, saya sangat terkejut. Bahkan berada di sini merupakan pencapaian tersendiri,” kata Shriever kepada BBC Sport.
“Untuk sampai ke final adalah satu pencapaian peribadi. Untuk memenangkan pingat, apatah lagi pingat emas, saya berasa seperti terbang ke bulan.”