KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ujian yang datang boleh menjadikan seseorang itu, hamba yang bersyukur atau sebaliknya.
Jelas beliau, menerusi penganjuran World #QuranHour diharapkan masyarakat negara ini terdidik dengan akhlak Al-Quran.
“Jadi kita harus faham bahawa ianya ada kaitan antara akhlak dengan karamtul insan tadi atau mengangkat martabat manusia.”
“Maknanya, harus kita fahami bahawa manusia ini tidak menjadi manusia yang Allah berikan akal kalau tidak ada akhlaknya.”
“Tidak ada keimanan dan keislaman kalau tidak ada akhlak,” kata Dr Mohd Na’im selepas pelepasan Al-Insan Flagbearers Ride simbolik pecutan akhir kempen World #QuranHour 1444H yang diketuai Brother Vince Focarelli dan 100 penunggang bermotosikal, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan serta penyerahan bendera Al-Abrar dan Al-Quran simbolik harapan rakyat untuk bersama membina Negara Berbudi & Penyayang melalui Al-Quran.
Menurut Dr Mohd Na’im lagi, jika seseorang individu tidak berakhlak maka tidak sempurnalah semangat manusia kerana setiap manusia dijadikan berdasarkan akidah, kepercayaan dan akhlaknya.
Tahun ini Surah al-Insan dipilih dengan membawa tema ‘memanusiakan manusia’ melalui agenda Humanising the Home, Humanising the Workplace, Humanising the Nation serta Humanising the World.
Beliau menyeru umat Islam di negara ini untuk menjayakan program World Quran Hour 2023 dalam usaha menggalakkan masyarakat berinteraksi dengan Al-Quran agar sentiasa membaca, memahami dan mengamalkannya.
World #QuranHour 2023 dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.
World #QuranHour sebagai kempen gerakan Al-Quran melalui baca, faham dan amal akan diadakan di lokasi perdana Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 13 April 2023.
Bagi anda bersama jemaah yang ingin menyertai hotspot lokasi World #QuranHour 1444H, boleh mendaftar melalui link https://bit.ly/HOTSPOTWQH2023