Covid19Semasa

Tiada syarat vaksin lengkap untuk terima bantuan khas Aidilfitri – PM

KUALA LUMPUR : Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 yang diumumkan kerajaan pada 5 April lalu adalah untuk semua kakitangan awam dan pesara yang layak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan ia termasuklah mereka yang tidak mendapat dos imunisasi Covid-19 yang lengkap.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam supaya membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April lalu.

“Pengumuman awal oleh saya sebelum ini tidak pernah menyatakan sebarang pengecualian bayaran kepada mana-mana penjawat awam mengikut status vaksinasi.

“Ini bagi memastikan bahawa tidak ada penjawat awam atau pesara yang layak menerima bantuan ini daripada tercicir,” katanya dalam kenyataan semalam.

Walau bagaimanapun kata beliau, perkara-perkara lain dalam pekeliling tersebut masih terpakai.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata biarpun tidak diwajibkan, kerajaan menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk melengkapkan dos suntikan imunisasi Covid-19 demi kesejahteraan bersama.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button