DuniaSemasa

Tiada had usia, kuota haji kembali normal – Menteri Haji & Umrah Arab Saudi

JEDDAH: Jumlah jemaah haji luar negara diumum kembali seperti sebelum pandemik COVID-19 dan tanpa sebarang had usia.

Perkara ini diumumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah awal pagi ini (waktu tempatan) pada upacara pembukaan persidangan dan pameran Ekspo Haji 2023 yang akan berlangsung sehingga 12 Januari.

Menurutnya berita gembira ini bakal membolehkan dua juta umat Islam dari luar Arab Saudi dan kira-kira 200,000 umat Islam domestik menunaikan ibadah haji dengan mudah dan senang

“Saya hendak umumkan satu berita gembira, (Mengenai) Jumlah jemaah haji… sejak tercetusnya pandemik pada 1441 Hijrah (2020 Masihi), Arab Saudi telah mengenakan sekatan bilangan dan usia tertentu untuk menunaikan haji,” katanya.

“Pada musim 1444 Hijrah (tahun ini), ia akan kembali seperti sebelum pandemik, tanpa sebarang sekatan umur,” jelas Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah lagi.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah ketika berucap awal pagi tadi (waktu tempatan) pada upacara pembukaan persidangan & pameran Ekspo Haji 2023

Jumlah jemaah haji ke Baitullah pada musim haji 1443 Hijrah (2022 M) mencecah 899,353 jemaah termasuk 779,919 jemaah antarabangsa daripada jumlah keseluruhan sejuta jemaah yang dibenarkan.

Malaysia menerima kuota penuh bagi musim haji tahun ini iaitu sebanyak 31,600 orang seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Musim haji 1442 Hijrah (2021 Masihi) pula menyaksikan penyertaan haji dihadkan kepada 60,000 jemaah domestik, di bawah kawalan kesihatan ketat pada masa itu akibat pandemik.

Tahun 1441 Hijrah (2020 Masihi) turut menyaksikan penurunan jumlah kuota yang drastik, apabila hanya kira-kira 10,000 jemaah domestik dibenar menunaikan haji, berbanding 2.5 juta pada tahun 1440 (2019 M) dari seluruh dunia.

Persidangan dan pameran Ekspo Haji 2023 anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu berlangsung dari 9 hingga 12 Januari 2023.

Diadakan selama empat hari acara itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk membina ekosistem perkhidmatan dan penyelesaian yang inovatif dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada jemaah haji, di samping meningkatkan pengalaman keagamaan dan budaya mereka.

Acara itu juga bertujuan mewujudkan ekosistem bersepadu dan lestari yang menambah baik pengalaman jemaah haji, menjangkakan arah aliran masa depan mereka dan mewujudkan peluang kerjasama, perjanjian serta inisiatif tempatan dan antarabangsa.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button