KepenggunaanSemasa

Threads dilancar secara rasmi, kemungkinan menyaingi Twitter

Guna Threads untuk cipta kehidupan penuh bermakna untuk kebaikan di dunia & saham di akhirat

WASHINGTON:  Syarikat induk Facebook Meta pada Rabu secara rasmi melancarkan Threads, untuk menjadi pesaing Twitter berasaskan teksnya.

Dibangunkan oleh pasukan Instagram, aplikasi baharu itu bertujuan menyediakan platform untuk perbualan dalam talian masa nyata (real time) dan berkongsi kemas kini teks.

Menurut syarikat berkenaan, posting atau hantaran boleh mencapai sehingga 500 aksara dan boleh memasukkan pautan, foto dan video yang panjangnya sehingga 5 minit.

“Kami sedang berusaha untuk menjadikan Threads serasi dengan rangkaian sosial yang terbuka dan saling beroperasi yang kami percaya boleh membentuk masa depan internet“, lapor Agensi Anadolu memetik syarikat itu.

Menerusi hantaran Threads, Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg berkata visi aplikasi baharu itu adalah untuk mewujudkan pilihan dan ruang awam yang mesra untuk perbualan.

“Kami berharap untuk membawakan perkara terbaik dilakukan Instagram dan mewujudkan pengalaman baharu mengenai teks, idea dan membincangkan perkara yang ada dalam fikiran anda“, tulisnya.

Aplikasi Threads tersedia di lebih 100 negara untuk pengguna iOS dan Android, tambahnya.

Felow Penyelidik Kanan di Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Muhammad Husni Mohd Amin pernah menulis hakikat sejarah Islam memberi maklum bahawa selain menggesa kepada berbuat amal dan memuliakan kerja sebagai budi diganjarkan dengan pahala kebaikan, teknologi bukanlah suatu bentuk eskapisme atau jalan menganjurkan kemalasan.

Sebaliknya, ia jalan bagi manusia memperbaiki diri melalui penciptaan kemahiran dan dengan itu manusia memperoleh tujuan dan makna dalam kehidupan. Justeru, Ummah Today menyarankan agar pengguna Threads gunakanlah aplikasi ini sewajarnya untuk mencipta kehidupan yang penuh bermakna untuk kebaikan di dunia & menjadi saham di akhirat.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button