Silat bukanlah sekadar mengajar menghadapi musuh semata-mata, malah ia turut mengajar para pengamalnya tentang disiplin.
Demikian nilai yang mahu ditunjukkan dalam filem yang bertemakan silat, “Syahadan” yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 17 Februari ini.
Filem Syahadan terbitan Trilion Marketing Sdn. Bhd dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) merupakan arahan Datuk Dr Fairus Hussain(FDAM) dan Halim Hasan, cuba membuka mata generasi kini akan kepentingan memelihara adat dan budaya Melayu.
Atas nilai itulah filem Syahadan mendapat perhatian aktivis kemanusiaan merangkap selebriti, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi yang lebih dikenali sebagai “The Helmis”. Mereka memberikan sokongan penuh terhadap filem ini.
Menurut The Helmis, nilai dan semangat ilmu persilatan semakin lama semakin tenggelam dalam masyarakat Melayu.
“Semangat persilatan kita makin lama ditinggalkan, ilmu persilatan sebenarnya mengajar kita tentang erti disiplin.
“Kalau anda nak tahu, sebenarnya kita ada dengar ada satu filem tajuknya “Syahadan” yang mengisahkan tentang ilmu persilatan dan bagaimana untuk meningkatkat disiplin diri, selaras dengan taglinenya “Manusia Tanpa Maruah, Manusia Hina,” kata mereka ketika mempromosikan filem “Syahadan”.
Semakin hampir dengan tarikh tayangan, semakin ramai yang menunjukkan sokongan dan juga meluahkan rasa tidak sabar untuk menonton filem tersebut, sekali gus membuktikan bahawa filem yang mengangkat seni Melayu sangat dinanti-nantikan oleh masyarakat kita.
Sinopsis Filem Syahadan
Syahadan mengisahkan tentang seorang remaja bernama Omar yang hidup tanpa matlamat yang sebenar. Ini menyebabkan ayahnya terpaksa menghantar Omar ke kampung untuk dibaiki akhlaknya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat melalui kaedah persilatan.
Omar pada mulanya menentang dan tidak berminat mempelajari silat. Namun hatinya terbuka setelah gurunya Pak Daud berjaya menumpaskan empat orang samseng yang bersenjata di warung Kak Milah.
Di sepanjang sesi latihan silat bersama Pak Daud, Omar terpaksa berhadapan dengan cabaran latihan fizikal dan mental untuk membina jatidiri sebagai orang silat.
Setelah berjaya mewarisi ilmu persilatan, suatu hari Omar berdepan dengan kumpulan samseng yang merupakan sindiket penculikan kanak-kanak yang diketuai oleh Zed Punk.
Berjayakah Omar menumpaskan kumpulan samseng berkenaan?