Terowong SMART ditutup bagi pengaktifan sistem banjir
KUALA LUMPUR : Berikutan hujan lebat sejak Jumaat lalu, terowong Lebuhraya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) ditutup sepenuhnya kepada pengguna bagi pengaktifan sistem banjir.
SMART dalam satu kenyataan memberitahu bahawa penutupan berkenaan dilaksanakan selepas menerima arahan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada jam 6.47 petang semalam.
“Pihak SMART memohon agar pengguna bersabar serta memberi kerjasama dan perhatian mengenai pengumuman status operasi Terowong Lebuhraya SMART yang akan disiarkan melalui penghebahan media dan papan maklumat elektronik (VMS),” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, mereka memaklumkan bahawa Status Terowong Lebuhraya SMART boleh diikuti melalui laman web SMART di www.smarttunnel.com.my, twitter@smarttunnel atau ‘Smart Tunnel’di Facebook.
Hubungi talian bantuan SMART di 1300887188 untuk pertanyaan atau maklumat lanjut.