SELANGOR :Ini adalah banjir besar yang pertama kali berlaku di taman perumahan, Taman Idaman Bangi, tiga hari lepas.
Kejadian ini amat mengejutkan para penduduk dan mereka tidak sempat berbuat apa-apa.
Sebelum kejadian, air mula melimpah ke kampung Bangi Tambahan yang terletak di belakang taman perumahan itu, pada jumaat malam.
Air yang semakin meningkat naik kemudian mula memasuki kawasan perumahan tersebut ekoran hujan lebat yang berterusan.
Mangsa banjir, Muhammad Hasif bin Mat Hasan, 30, mendakwa air mulai naik pada pukul empat pagi dan membanjiri seluruh kawasan perumahan melalui saluran longkang hadapan kediaman.
“Saya bersama penduduk di sini terpaksa berjaga sehingga dua pagi untuk mengawasi kenaikkan paras air agar dapat mempersiapkan langkah selamat daripada terkena tempias banjir,” katanya.
Menurut Muhammad Hasif lagi, seawal tujuh pagi, air mula naik sehingga paras lutut dan menghalang laluan masuk ke dalam kawasan taman perumahan itu.
“Kira-kira dalam pukul 8.30 pagi, air banjir semakin naik dan masuk ke ruangan dalam rumah kami,” ujarnya lagi.
Selain daripada faktor hujan lebat berterusan, banjir yang terjadi juga adalah akibat daripada impak pelepasan air di Empangan Klang Gate.
“Saya juga turut berdepan dengan kerugian besar susulan barang terjejas akibat daripada banjir yang meningkat naik sehingga memenuhi ruangan dalam rumah.” jelasnya lagi.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today