KUALA LUMPUR: Inisiatif terjemahan secara langsung Khutbah Hari Arafah dari Mekah ke 10 bahasa termasuk Bahasa Melayu, akan diteruskan pada musim haji kali ini.
Ketua Pengarah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram & Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais menjelaskan, inisiatif ini bagi membolehkan jemaah haji serta umat Islam di seluruh dunia yang mendapat akses secara langsung, memahami kandungan teks khutbah.
Khutbah musim haji 1443H beserta terjemahan langsung akan disiarkan dalam 10 bahasa; Inggeris, Bahasa Melayu, Urdu, Farsi, Perancis, Cina, Turkiye, Rusia, Hausa dan Bengali.
“Di masa hadapan akan lebih dari itu (10 bahasa), kerana menjadi kewajipan kami di Haramain untuk menyampaikan kepada semua, setiap pengisian tentang kebenaran, keadilan, kebajikan, kesederhanaan, toleransi, menolak ketaksuban & kebencian dari tanah suci ini,” jelasnya semasa di wawancara saluran televisyen Alekhbariya, Arab Saudi baru-baru ini.
Alekhbariya turut melaporkan khutbah Hari Arafah akan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen & radio tempatan selain tiga aplikasi pintar (Arafat, Haramain dan Manaret Haramain) serta portal jabatan berkenaan.
Untuk rekod, inisiatif terjemahan Khutbah Hari Arafah telah dimulakan sekitar tahun 2018 dengan hanya lima bahasa: Inggeris, Perancis, Farsi, Bahasa Melayu & Urdu.
Pada tahun kedua pelaksanaannya, bahasa Cina ditambah. Tahun 2021 pula, sebanyak empat lagi bahasa dimasukkan. – BERNAMA