KUALA TERENGGANU : Aktiviti berbuka puasa di kawasan lapang dibenarkan di Terengganu termasuk di padang sekitar jambatan angkat sepanjang Ramadan kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah meluluskan kebenaran berbuka puasa di kawasan lapang.
Namun, penganjur bazar Ramadan diminta memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk melakukan penjarakan fizikal.
“Walaupun SOP bazar Ramadan dan Aidilfitri dilonggarkan, pengunjung yang disahkan positif C\ovid-19 dan diarah menjalani kuarantin dilarang hadir ke lokasi berkenaan.
“Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun ke bawah disaran tidak ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri,” katanya.
Beliau turut berkata, kanak-kanak tidak digalakkan untuk dibawa ke bazar Ramadan dan Aidilfitri berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan remaja memandangkan mereka belum mendapat vaksinasi lengkap.
Dalam pada itu, pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan KKM akan menempatkan pegawai dan anggota penguat kuasa bagi memantau semua lokasi bazar Ramadan.
-AGENSI