KUALA TERENGGANU : Bermula 1 April ini, masjid dan surau di negeri ini akan dibenarkan untuk solat berjemaah dengan saf dirapatkan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, perkara ini membolehkan untuk umat Islam melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri turut boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Menurutnya, solat sunat tarawih, majlis berbuka puasa, moreh, bacaan al-Quran secara berjemaah, qiamullail dan lain-lain aktiviti keagamaan juga dibenarkan sepanjang bulan Ramadan ini.
“Kehadiran jemaah bagi aktiviti bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri turut dibenarkan kepada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas.
“Jawatankuasa masjid dan surau digalakkan menetapkan satu kawasan khas yang bersesuaian bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga dua belas tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Shaikh Harun berkata, pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti wajib memakai pelitup muka dan mengimbas aplikasi MySejahtera serta tidak perlu membawa sejadah.
Namun, bersalaman dalam kalangan jemaah masih tidak dibenarkan selain diminta sentiasa menjaga kebersihan serta kesihatan diri.
Dalam pada itu, majlis akad nikah di masjid, surau dan premis persendirian dibenarkan tanpa had kapasiti berdasarkan garis panduan terperinci yang akan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Umat Islam turut dibenarkan menziarahi tanah perkuburan di samping solat jenazah tanpa penjarakan fizikal.
“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berharap pihak jawatankuasa masjid dan surau dapat mematuhi SOP ditetapkan bagi menghalang penularan Covid-19,” katanya.