
TEBING BARAT: Sekurang-kurangnya seorang pelajar Palestin cedera akibat terkena tembakan tentera Israel dan empat lagi ditahan ketika tentera Israel menyerbu Universiti Birzeit dekat Ramallah pada Isnin.
Sekumpulan ejen Israel yang menyamar dikenali sebagai Mustarebeen, memasuki kampus universiti itu dari pintu utara dan melepaskan tembakan meluru ke arah pelajar, kata Universiti Birzeit dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sosial, Facebook.
Menurut agensi berita Palestin WAFA, tentera Israel melepaskan tembakan bagi menjauhkan pelajar ketika mereka sedang membuat penahanan dan turut mencederakan dua orang pelajar di situ.
Video yang dikongsi media tempatan Palestin menunjukkan salah seorang pelajar, Ismail Barghouti, yang ditahan, menerima rawatan di hospital selepas serbuan itu.
شاهد| منسق الكتلة الإسلامية في بيرزيت الأسير إسماعيل البرغوثي بعد إصابته: "في الجناح".#فلسطين pic.twitter.com/EXfyYDOkP6
— شبكة قدس الإخبارية (@qudsn) January 10, 2022
Selain itu, empat pelajar lain merupakan antara ahli aktif kesatuan pelajar yang ditahan ialah Qassam Nakhleh, Abdel Hafez Sharbati, Walid Harazneh dan Muhammad al-Khatib, menurut WAFA.
Universiti Birzeit mengecam “serangan terang-terangan” itu dan menyeru pihak antarabangsa dan hak asasi manusia untuk melindungi institusi pendidikan.
Ia menambah bahawa peguamnya kini sedang berusaha bagi mengetahui keadaan “pelajar yang diculik”.
Tentera Israel berkata dalam satu kenyataan ringkas bahawa semasa melakukan penangkapan ke atas warga Palestin yang dikehendaki di Birzeit, lelaki itu cuba melarikan diri sebelum tenteranya menembak dan mencederakannya.
Serbuan ini mendapat kritikan daripada beberapa kumpulan warga Palestin.
Hamas berkata dalam satu kenyataan bahawa pasukan khas Israel melakukan jenayah baru dengan menyusup masuk ke kampus Universiti Birzeit dan menembak pelajar di situ.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya usaha penjajahan terhadap gerakan kesatuan pelajar, penculikan pelajar, dan penyerbuan universiti,” kata kumpulan itu.
Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PLFP) menggelar serbuan itu sebagai “pencerobohan biadab Israel” dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media tempatan, dan menggesa perlindungan pelajar dan institusi akademik.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today