KepenggunaanSemasa

Telur buaya boleh dimakan, hukumnya harus

TELUR BUAYA dan semua jenis telur adalah halal serta hukum harus dimakan melainkan ianya memberi mudarat kepada pemakan atau wujud dalil sebaliknya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum memakan telur buaya dibahagikan kepada dua perbahasan.

Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

“Pertamanya, jika buaya termasuk dalam jenis haiwan yang halal dimakan, maka telurnya juga tidak syak lagi adalah suci dan halal dimakan. Perkara ini bertepatan dengan kaedah: (Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal) (lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117)”.

“Berdasarkan kaedah ini, jika buaya termasuk dalam jenis haiwan air yang halal bangkainya, maka kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan seluruh bahagian anggotanya“.

“Ia seperti daging, kulit, ekor, mata dan lain-lain, termasuklah telurnya selagi mana ia bukan najis dan tidak memudaratkan,” katanya menerusi soal jawab agama pada laman web Maktabah Al-Bakri hari ini.

Kredit foto sumber @khairuljohari27

Bagi perbahasan kedua pula, beliau berkata, sekalipun buaya dihukumkan sebagai haiwan yang haram untuk dimakan dagingnya, namun telurnya tetap dihukumkan sebagai halal untuk dimakan menurut pendapat yang sahih.

“Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak, manakala telur daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, padanya terdapat dua pendapat.”

Pendapat yang kuat dalam hal ini adalah ia dikira suci (lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555). Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi dengan mengatakan bahawa terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya.”

Dinyatakan di dalam kitab al-Majmu‘, jika kita katakan bahawa telur itu dikira suci dan ia adalah pendapat yang rajih, maka dihalalkan untuk memakannya tanpa sebarang khilaf kerana telur adalah suci dan tidak dianggap jijik (lihat Mughni al-Muhtaj, 6/158),” jelas beliau.

Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebut bahawa semua jenis telur itu adalah suci, sekalipun ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya.

Begitu juga sekalipun ia telah berubah menjadi darah di mana jika dieramkan, pasti ia akan menetas. Akan tetapi diharamkan untuk memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular (lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/82),” katanya.

@khairuljohari27 Replying to @azri_juhari ♬ Musik Relaksasi – Formasi

Related Articles

Back to top button