Taufan Rai : kematian meningkat 389
MANILA : Angka kematian akibat Taufan Rai yang melanda Filipina dua minggu lalu, meningkat kepada 389, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC), ketika negara itu bergelut memerangi wabak penyakit di kawasan yang musnah.
Taufan Rai, ribut terbesar yang melanda Filipina tahun ini, mendarat di pulau Visayas dan Mindanao pada 16 Disember, membawa hujan lebat, angin kencang, banjir dan ribut.
Menurut statistik terkini NDRRMC, lebih 506,000 kediaman telah rosak atau musnah apabila taufan mula berputar dari pulau-pulau dua hari kemudian.
“Setakat ini, terdapat 314,676 orang mendapat bantuan di 1,179 kemudahan pemindahan,” kata jurucakap NDRRMC.
Lebih 1,100 orang cedera, dan 64 lagi masih hilang apabila taufan melanda dan pihak berkuasa menjangkakan lebih empat juta orang akan terjejas.
Menurut NDRRMC, majoriti mangsa yang terkorban ditemui di tengah dan selatan Filipina, khususnya di wilayah Cebu, Bohol dan kepulauan Dinagat serta pulau Siargao.
Sesetengah komuniti masih kekurangan air dan hubungan komunikasi belum dipulihkan sepenuhnya walaupun bekalan elektrik telah dipulihkan di 154 bandar dan lokasi lain yang terjejas.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kesihatan Maria Rosario Vergeire berkata majoriti pesakit di Caraga dimasukkan ke hospital dan unit epidemiologi dan pengawasan wilayah sedang mengesahkan laporan dari Cebu.
Menurut agensi berita ArabNews, Jabatan Kesihatan Filipina kini sedang meneliti sebab wabak itu yang mungkin dikaitkan dengan air tercemar.
“Ada kemungkinan berlaku pencemaran kerana paip bawah tanah yang rosak. Itulah yang kita lihat. Kami sudah mengerahkan pasukan epidemiologi ke kawasan itu untuk menentukan punca gastroenteritis,” katanya.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte telah pun mengarahkan semua agensi dan pihak berkuasa tempatan bagi menjaga keperluan perubatan mangsa ribut, khususnya mereka yang masih berada di pusat pemindahan.
“Pusat pemindahan berisiko kerana penduduk di situ boleh mengancam antara satu sama lain. Hanya dengan sekali batuk kamu dan ia akan merebak,” kata Duterte.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM