QUANG NGAI: Vietnam ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Selepas dinaiki air dan melumpuhkan sebahagian besar ibu kota Hanoi, Taufan Molave pula membadai.
Dua dilaporkan terbunuh, manakala 26 lagi hilang selepas Molave membadai mengakibatkan banyak pokok tumbang.
Taufan itu juga memusnahkan bumbung rumah dan disifatkan antara bencana yang terburuk dalam beberapa tahun ini.
Pihak berkuasa memindahkan kira-kira 375,000 orang ke kawasan selamat, membatalkan ratusan penerbangan dan menutup sekolah serta pantai sebelum berlakunya taufan itu, yang melanda selatan Danang dengan kepungan angin sehingga 145 kilometer sejam.
“Penduduk Vietnam dalam keadaan sukar, namun ini adalah antara kemusnahan terburuk yang dilihat di banyak kawasan,” kata presiden Persatuan Palang Merah Vietnam, Nguyen Thi Xuan Thu.
“Ribut tanpa henti dan banjir mengorbankan nyawa, dan memusnahkan mata pencarian serta mengasingkan berjuta-juta orang.”
“Pegawai juga mencari 26 nelayan yang hilang, dengan ribut keempat berlaku di Vietnam pada bulan ini, membawa gelombang setinggi enam meter dengan bekalan elektrik terputus di seluruh wilayah.
“Kapal tentera laut dan pengawasan dikerahkan untuk mencari kru selepas dua kapal mereka hilang ketika cuba berlabuh,” kata Timbalan Perdana Menteri, Trinh Dinh Dung.
Larangan memancing dikuatkuasakan sejak semalam, manakala semua lapangan terbang di kawasan itu ditutup sehingga diberitahu kelak.
Taufan itu berlaku selepas beberapa minggu banjir buruk dan tanah runtuh berlaku, yang meragut 130 nyawa dan merosakkan atau memusnahkan lebih 310,000 kediaman, menurut Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).
– AFP