SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangguhkan solat Jumaat, solat lima waktu berjemaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan di seluruh masjid serta surau di Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, mulai hari ini hingga 27 Oktober depan.
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata JAIS membuat keputusan dan menetapkan bagi semua pentadbir masjid dan surau seluruh Selangor untuk menangguhkan semua aktiviti itu susulan pengumuman oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)
“Keputusan ini selari dengan hasrat JAIS dalam memastikan pentadbir masjid dan surau di Selangor dapat memberi kelangsungan keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan terhadap anak kariah masing-masing dari menerima sebarang kesan penularan wabak dan penyakit, khususnya wabak COVID-19,” – Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad
Mohd Shahzihan berkata, pentadbir masjid dan surau seluruh Selangor hendaklah memastikan solat Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang penangguhan ini, sebaliknya digantikan dengan solat Zohor di kediaman masing-masing.
“Solat fardhu berjemaah lima waktu hendaklah dilaksanakan dengan had bilangan jemaah tidak melebihi tiga orang sahaja, manakala azan hendaklah dikumandangkan pada setiap waktu.
“Aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh dan kuliah Dhuha serta aktiviti agama yang lain juga hendaklah ditangguhkan buat sementara, berkuatkuasa pada waktu Subuh hari ini,” katanya.
Beliau berkata, sebarang perubahan kepada penangguhan ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu pengurusan Masjid Bandar Seri Putra, BSP turut mengeluarkan pekeliling berhubung situasi terkini masjid itu.
Masjid BSP akan menangguhkan solat Jumaat, solat fardhu dan aktiviti pengimarahan bermula waktu Subuh, 14 Oktober tadi sehingga dimaklumkan kemudian.
Sepanjang tempoh tersebut, hanya tiga orang pegawai atau Ahli Jawatankuasa masjid akan melaksanakan Solat Fardhu Berjemaah di masjid.
Jemaah adalah diminta untuk menunaikan solat fardhu berjemaah di rumah bersama ahli keluarga masing-masing.
Sama-samalah kita berdoa agar kita dilindungi dari wabak COVID-19 ini dan keadaan pulih seperti sediakala.
Amin!.