KABUL : Kumpulan Taliban beri jaminan akan melindungi hak wanita dan kebebasan media berdasarkan kenyataan dalam sidang akhbar pertama pada Selasa lalu, setelah berjaya menakluki ibu kota Afghanistan, Kabul.
“Kami akan membenarkan wanita untuk terus bekerja dan belajar. Semestinya, kita ada rangka dan perlembagaan tersendiri. Wanita akan lebih aktif dalam masyarakat tapi berlandaskan ajaran Islam,” jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.
Taliban turut meyakinkan bahawa mereka jauh lebih berbeza daripada Taliban yang dahulu iaitu pada 1990-an.
Mujahid menekankan tiada diskriminasi terhadap wanita dan mereka akan bekerja bersama-sama dengan kaum lelaki.
“Akan ada perbezaan dari segi tindakan yang diambil berbanding 20 tahun dahulu.” katanya.
Tambah beliau, kumpulan Taliban komited untuk bekerjasama bersama barisan media dalam lingkungan kerangka budaya mereka.
“Media bebas untuk menjalankan tugas masing-masing. Mereka boleh bekerja seperti biasa,” katanya di hadapan wartawan.
Mujahid turut mengatakan kumpulan itu tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk menceroboh rumah atau melakukan serangan balas terhadap sesiapa yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan sebelumnya.
Termasuk bekerja dengan Amerika Syarikat atau bekas anggota Pasukan Keselamatan Nasional Afghanistan.
Dalam kenyataan beliau berkata laporan yang mendakwa Taliban memasuki kediaman penduduk Kabul adalah tidak benar dan menyifatkan ia sebagai satu bentuk penyamaran untuk memburukkan puak itu.
Al-Jazeera
Diterjemah oleh Nurshazlin Shahrom