Tak sampai setahun, hampir 30 buah masjid ditutup di Perancis
PARIS : Sifat kebencian yang bersifat perkauman berterusan terhadap umat Islam dan tempat ibadah mereka mendorong Perancis menutup satu pertiga dari 89 buah masjid yang diperiksa sejak November 2020.
Menurut Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin memberitahu akhbar Le Figaro bahawa sebelum “undang-undang anti-separatisme” dilaksanakan, 650 tempat ditutup kerana diduga menampung golongan yang mereka anggap sebagai ekstremis, dan 24,000 tempat diperiksa oleh polis Perancis.
Darmanin memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan yang dilakukan di 89 masjid tersebut atas tuduhan radikalisasi, satu pertiga daripadanya telah ditutup, dan menambahkan bahawa mereka mengambil tindakan untuk menutup enam lagi masjid di Sarthe, Meurthe-et-Moselle, Cote -d’Or, Rhone, dan wilayah Gard.
Darmanin menambah mereka juga menentang pembangunan masjid yang dinamakan “Eyup Sultan” di Strasbourg, yang merupakan gabungan dengan Pandangan Nasional Komuniti Islam (IGMG), walaupun mendapat persetujuan pihak berkuasa tempatan.
Lima persatuan Muslim yang didakwa mempromosikan apa yang disebut sebagai “Politik Islam” telah ditutup setakat ini, menteri itu mengatakan undang-undang pemisahan membenarkan mereka melakukan lebih dari itu.
Sementara itu, sebanyak 10 persatuan tambahan turut akan ditutup, dengan empat daripadanya akan ditutup pada bulan Oktober, katanya, sambil menambah sebanyak 205 akaun bank persatuan dirampas dan dua imam diusir dari kawasan itu.
“Kami menyebarkan keganasan di kalangan mereka yang ingin menyebarkan keganasan kepada kami,” katanya,
Tambahnya lagi, pegawai agama dari luar negara tidak akan diberikan kebenarakan untuk masuk ke negara ini mulai 2023 dan pada masa yang sama beliau telah mengarahkan para gabenor untuk tidak memperbaharui permit mereka untuk menetap di negara itu.
Beliau juga mengatakan bahawa mereka tidak memperbaharui kad kediaman mereka yang dihukum kerana terlibat dalam jenayah pengedaran dadah dan keganasan rumah tangga di negara ini.
Perancis telah mengehadkan jumlah visa yang dikeluarkan untuk warga Algeria, Tunisia, dan Maghribi untuk membolehkan negara-negara ini menerima kembali warganegara mereka yang dihantar pulang oleh Perancis.
Pada bulan Ogos, pihak berkuasa perlembagaan tertinggi Perancis meluluskan undang-undang “anti-separatisme” yang menimbulan kontroversi sehingga ia mendapat kritikan kerana berunsur diskriminasi terhadap orang Islam.
Rang undang-undang itu diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan Perancis pada bulan Julai, walaupun mendapat tentangan hebat dari kedua-dua anggota parlimen kanan dan kiri.
Kerajaan mendakwa bahawa perundangan itu bertujuan untuk memperkuat sistem sekular Perancis, tetapi pengkritik percaya bahawa undang-undang itu telah melampaui batas sehingga menyekat kebebasan beragama dan meminggirkan umat Islam.
Undang-undang itu dikritik kerana mensasarkan komuniti Muslim Perancis – yang terbesar di Eropah, dengan 3.35 juta anggota – dan mengenakan sekatan pada banyak aspek kehidupan anggotanya.
Ia juga membolehkan pegawai campur tangan dalam pengurusan masjid dan persatuan yang bertanggungjawab dalam pentadbirannya, serta mengawal kewangan persatuan dan badan bukan kerajaan yang beragama Islam.
Dalam pada itu, ia turut menyekat pilihan pendidikan umat Islam dengan menjadikan home-schooling tertakluk kepada kebenaran rasmi.
Di bawah undang-undang, pesakit dilarang memilih doktor berdasarkan jantina atas alasan agama atau lain-lain, dan “pendidikan sekularisme” telah diwajibkan kepada semua penjawat awam.
Perancis telah dikritik oleh organisasi antarabangsa dan NGO, terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kerana menyasarkan dan meminggirkan umat Islam dengan undang-undang.
-ANADOLU AGENCY