Tak bayar hutang? Tunggu kebinasaan Allah SWT

HUTANG atau al-qard merujuk kepada penyerahan sesuatu barang atau harta daripada pemiutang kepada penghutang dengan syarat barang tersebut atau sesuatu yang sama nilai dengannya akan digantikan kembali kepada pemilik asal tanpa sebarang penambahan.
Sudah menjadi tanggungjawab orang yang berhutang untuk memulangkan barang yang sama atau serupa dengan apa yang dipinjam tanpa apa-apa tambahan terhadap harta yang dipinjam itu.
Kita sedia maklum , hukum membayar hutang adalah wajib. Hal ini bertepatan dengan apa yang disabda oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya“. (Riwayat al-Bukhari 2387)
Namun, perlu kita tahu, penghutang yang langsung tidak berusaha membayar kembali hutangnya, hidupnya akan selalu dibelenggu ancaman.

Menerusi Portal Rasmi Majlis Agama Islam Selangor, berikut merupakan antara ancaman kepada orang yang enggan membayar hutang:
- Pahala kebaikan akan jadi ganti bila sudah mati.
Seseorang yang mati dalam keadaan berhutang dan warisnya pun tidak cuba menjelaskan hutang tersebut melalui harta si mati, maka pahala kebaikan si mati akan digantikan untuk bayar hutang tersebut.
Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari Akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.” (Riwayat Abu Daud).
2. Urusan penghutang kekal tergantung.
Orang yang berhutang tidak terlepas sedikit pun daripada kewajipannya membayar hutang. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.”(Riwayat At-Tirmidzi)
3. Siapa yang berniat tak mahu melunaskan hutang adalah sama seperti pencuri.
Hadis daripada Suhaib bin Sinan ar-Rumi r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Siapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) sebagai pencuri.” (Riwayat Ibnu Majah).
4. Orang yang mampu bayar hutang tapi sengaja melengahkan adalah zalim.
Bagi mereka yang berhutang dan mampu membayar balik hutang tersebut namun sengaja melengahkannya adalah termasuk dalam kalangan orang yang zalim. Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Penundaan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah suatu kezaliman.” (Riwayat al-Bukhari)
5. ‘Mati syahid’ bukan menjamin syurga buat si penghutang.
Hadis daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim)
6. Penghutang tergolong sebagai pendusta.
Penghutang yang mempunyai niat untuk tidak membayar hutang biasanya cenderung untuk berdusta. Hal ini kerana penghutang akan mencipta pelbagai alasan untuk mengelak daripada membayar hutang. Rasulullah SAW telah pun memberi peringatan yang jelas melalui hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a yang bermaksud:
Nabi S.A.W biasa berdoa di akhir solat: “(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan banyak hutang).” Lalu ada yang berkata kepada baginda SAW, “Kenapa engkau sering meminta perlindungan dalam masalah hutang?” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Jika orang yang berhutang apabila dia berkata, dia akan sering berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhari)
Atas dasar itu, sekiranya kita terpaksa berhutang, berhutanglah dengan kadar yang selayaknya dan sesuai dengan kemampuan diri tanpa perlu berbelanja melebihi kemampuan.
Dapat disimpulkan bahawa hutang bukanlah perihal yang enteng untuk diambil tanggungjawab kerana perkara ini berkait antara kehidupan dunia yang sementara dan kekal abadi di akhirat.
BACA JUGA
Kaedah menuntut hutang menurut Islam