BanjirSemasa

MAPIM Rangers redah banjir di Mersing demi bantu ummah

MERSING: Sukarelawan pacuan empat roda MAPIM Rangers bergegas ke daerah Mersing pada Sabtu untuk misi bantuan kemanusiaan selepas media melaporkan bahawa daerah berkenaan mengalami banjir terburuk pernah dialami, sejak tempoh 5 tahun.

Bencana susulan hujan lebat beserta fenomena air pasang besar sejak 2 hari lalu telah menjejaskan hampir 1,200 penduduk di daerah berkenaan.

Tiga kenderaan pacuan empat roda dari MAPIM Rangers Kuala Lumpur dan Selangor bersama bot penyelamat  diatur gerak dari Ummah Central Warehouse MAPIM Malaysia di Sepang menuju ke Kampung Punan, Mersing dan kemudian bergabung dengan beberapa kenderaan 4×4 milik sukarelawan MAPIM Rangers dari Melaka serta Johor.

Skuad sukarelawan MAPIM Rangers ketika meredah halangan menuju ke kampung terkesan banjir di daerah Mersing

Menurut Khairul Badri, yang mengetuai MAPIM Rangers dalam Misi Bantuan ke Mersing kali ini, dua kampung iaitu Kampung Punan dan Kampung Asli Tewowoh telah berjaya disantuni walaupun sukarelawan 4×4 terpaksa melalui pelbagai halangan.


“Dalam misi kali ini, kita membawa lebih kurang 100 kotak bantuan makanan asas, kit kebersihan dan air mineral. Kita mahu memfokuskan mangsa banjir yang terperangkap kerana terputus laluan darat dan dalam masa sama menyantuni mereka sekeluarga,” jelas Khairul Badri ketika di temubual Ummah Today.

Difahamkan, misi bantuan awal selama 3 hari bermula Sabtu ini berjaya menyantuni hampir 30 keluarga yang tidak berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan akan diteruskan ke kampung yang lain di daerah berkenaan.


Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor memaklumkan Mersing kekal dengan jumlah mangsa paling ramai melibatkan 1,792 orang, diikuti Kluang (780), Kota Tinggi (417), Batu Pahat (209), Segamat (115) dan Tangkak (15).

Sementara itu, empat sungai di negeri berkenaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat dengan bacaan 5.96 meter (m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (14.53 m); Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (3.33 m) dan Sungai Endau, Mersing (2.90 m).

MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan musibah banjir serta menyokong kelangsungan misi bantuan kemanusiaan kami.

Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi

Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263540066

atau klik ke www.bantuummah.com

HOTLINE MAPIM MALAYSIA
jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038

.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button