KesihatanSemasa

Risiko penyebaran virus cacar monyet ke Malaysia rendah – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA : Risiko penyebaran virus cacar monyet ke Malaysia adalah rendah kecuali terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti atau kontak langsung dengan pesakit dijangkiti virus tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, perkembangan situasi cacar monyet dalam negara akan terus dipantau oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selain pemantauan kes melalui semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

“Segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya anda pengembara yang tiba di Malaysia dari kawasan terdapat jangkitan cacar monyet dan bergejala dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan tempat.

“Bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya, sila maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan serta termasuk mengasingkan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, KKM menasihati pengembara ke kawasan-kawasan yang terdapat kejadian cacar monyet di Afrika Tengah dan Afrika Barat dan juga negara-negara yang sedang mengalami wabak penyakit ini untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Dr Noor Hisham berkata, gejala jangkitannya mirip cacar (smallpox) membabitkan demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka sebelum merebak ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti bahagian tubuh yang lain.

“Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan bengkak kelenjar limfa.

“Kanak-kanak dan individu yang memiliki tahap imuniti rendah (immune deficiency), mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan boleh menyebabkan kematian. Kadar kematian di negara endemik cacar monyet dianggarkan sebanyak tiga hingga enam peratus,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan penularan cacar monyet, melalui laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan pemantauan kes disyaki virus berkenaan di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button