Semasa

Siti Sarah meninggal dunia

KUALA LUMPUR : Penyanyi terkenal tanah air, Siti Sarah Raisuddin menghembuskan nafas terakhir tepat jam 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Perkara itu disahkan suaminya yang  juga seorang pelawak, Shuib menerusi satu hantaran di laman Instagram.

Ramai rakan seperjuangan membanjiri ruangan komen di laman Instagram dengan ucapan takziah diiringi dengan cerita kebaikan yang pernah Allahyarhamah lakukan semasa beliau masih hidup.

Tanggungjawab beliau sebagai seorang isteri yang mentaati suaminya sungguh memberikan inspirasi dan menjadi contoh bagi golongan wanita lain.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta’at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]

Jenazah Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan selepas waktu Zohor kira-kira pukul 1.38 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak dekat sini sebentar tadi.

Terdahulu, Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas menjalani saringan setelah pembantu rumah disahkan positif virus tersebut.

Beliau yang turut sedang sarat mengandung 7 bulan dikejarkan ke hospital berikutan tahap oksigen dalam badannya yang semakin merosot.

Siti Sarah kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.

Beliau selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button