Tabung pusat Tahfiz ‘kering’, tidak mampu bayar bil
![](http://i0.wp.com/www.ummahtoday.com.my/wp-content/uploads/2021/08/GELAP.jpg?fit=1024%2C675&ssl=1)
Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday
PASIR PUTEH: Sebuah pusat tahfiz bakal berdepan ketiadaan elektrik ekoran gagal membayar tunggakan bil yang mencecah sehingga RM2,537 manakala, bil air RM1,087.
Pusat Tahfiz Quran al-Bukhari Tok Bali kini menampung 25 pelajar terdiri daripada pelajar berasal dari Terengganu, Selangor, Melaka, Kemboja dan Vietnam yang mempunyai latar belakang keluarga susah dan sederhana serta dua orang guru.
Menurut Mudir, Khaharizal Abdullah, biarpun pusat itu sedang dilanda ujian ekoran tabungnya ‘kering’ kesan ketiadaan bantuan sejak pandemik melanda, namun, para pelajar tetap sahaja tidak mengeluh.
Institusi yang dibina sejak 25 tahun lalu tetap bertahan sehingga kini biarpun terpaksa hidup dalam kehidupan yang amat sederhana dan berjimat cermat.
“Soal makan kami boleh tahan dengan cara berpuasa. Namun belum sampai ke tahap ikat perut kerana masih ada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan makanan. Paling tidak, dalam bentuk beras dan gula.
“Untuk lauk pauk kami terpaksa mencari sumber kewangan lain. Sekali sekala, ada nelayan yang bermurah hati sedekahkan ikan segar untuk alas perut anak-anak tahfiz ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Khaharizal berkata, beliau sudah memaklumkan kepada anak-anak tahfiz agar berjimat cermat menggunakan eletrik dan air bagi mengurangkan beban kosnya iaitu sekitar RM700 sebulan untuk elektrik sahaja.
“Sekarang gaji dua guru pun dibayar separuh sahaja iaitu RM750 sebulan. Hendak bayar lebih di luar kemampuan kerana pusat ini tidak mengenakan yuran kepada pelajar, sebaliknya bergantung atas ihsan ibu bapa yang mahu menyumbang mengikut kemampuan.
Seorang pelajar, Mohd. Lut Rosbi, 24, menzahirkan rasa syukur dapat menimba ilmu secara percuma selama lapan tahun di pusat tahfiz tersebut sehingga mampu menghafal 20 juzuk al-Quran selain mendalami pengajian kitab Turath.
“Bukan tidak mahu menyumbang atau membayar yuran, tetapi saya juga anak yatim yang dikekang kemiskinan keluarga. Alhamdulillah saya membesar dengan baik dan terbela di sini,” ujarnya.
UTUSAN ONLINE
Nurshazlin Shahrom