Syawal bukan noktah ibadah
Bulan Syawal adalah bulan yang mengukur iman dan amalan sebagaimana yang telah kita lakukan pada bulan Ramadan lalu. Syawal juga diraikan dengan penuh kesyukuran dan kemenangan menelusuri tarbiyah Ramadan selama sebulan.
Kesyukuran ini dapat kita terjemahkan dengan bertakbir memuji Allah SWT, solat sunat Aidilfitri, bersedekah serta saling bermaafan sesama keluarga dan sahabat handai.
Namun begitu, dalam keghairahan menyambut kehadiran Syawal, kita seharusnya tidak menoktahkan segala bentuk ibadah yang telah diamalkan dalam bulan Ramadan malah kita dianjurkan untuk istiqamah melakukannya.
Orang yang benar-benar dapat menikmati kemanisan dan kegembiraan sambutan Aidilfitri adalah orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Mereka inilah yang tergolong dalam golongan orang yang sentiasa meninggalkan larangan Allah di samping mentaati syiar Islam sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT bermaksud:
“Demikianlah ajaran Allah. Sesiapa yang menghormati syiar agama Allah maka dialah orang yang bertakwa kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati Mukmin” (Surah Al-Hajj ayat 32).
Walaubagaimanapun, ramai yang tidak menyangka bahawa dugaan sebenar adalah pada bulan Syawal kerana penurunan tahap kualiti ibadah kita berlaku dengan begitu drastik terutama seusai solat sunat Aidilfitri.
Acap kali terjadi apabila Ramadan sudah berlalu pergi, segala rutin ibadah yang dulunya seakan norma, kini berubah kembali seakan Ramadan tidak pernah kunjung tiba. Solat berjemaah mula berasa berat, persaudaraan dalam kalangan jiran tetangga tidak lagi dihayati, fakir miskin dan anak-anak yatim tidak dipeduli dan disantuni lagi.
Masjid dan surau akan kembali sepi daripada kehadiran jemaah, Al-Quran akan kembali cantik tersusun di rak-rak, bibir juga sudah tidak lagi basah dengan zikrullah dan kembalilah kepada rutin harian yang biasa.
Mereka yang telah berjinak-jinak dengan masjid sudah mula menjauhi diri dan melipat sejadahnya. Mereka kembali kepada dunia seperti sebelumya dengan begitu rakus sekali.
Walaubagaimanapun, momentum amal ibadah ini tidak seharusnya terhenti begitu sahaja, sebaliknya perlu diteruskan dengan ibadah-ibadah sunat seperti berpuasa enam hari di bulan Syawal dan amalan-amalan yang lain.
Segala amalan baik yang telah dilakukan sepanjang Ramadan yang lalu menuntut kepada istiqamah dalam penerusan pelaksanaanya. Oleh itu, para ulama telah menggariskan lima panduan untuk kita kekal istiqamah dalam beramal soleh.
Antaranya adalah:
- Sentiasa memperbaharui niat dengan ikhlas dalam setiap amalan yang kita lakukan.
Sentiasalah bermuhasabah diri dengan menanyakan kepada diri ‘mengapakah kesungguhan kita beramal soleh dalam bulan Ramadan lebih hebat berbanding dengan keadaan kita di bulan yang lain?’. Sekiranya kita ikhlas kepada Allah SWT, kita mestilah melaksanakannya sepanjang kehidupan.
2. Perbanyakkan berdoa kepada Allah
Kita dianjurkan untuk berdoa agar dikurniakan kekuatan dalam melaksanakan amal ibadat dan dijauhkan daripada godaan iblis dan syaitan yang akan sentiasa menghasut untuk melakukan maksiat.
Rasulullah SAW sering berdoa sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadith, daripada Shahar bin Haushab RA: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu.” (Riwayat al-Tirmizi).
3. Mencari teman-teman yang suka akan kebaikan.
Sahabat yang baik amat mempengaruhi kita dalam proses penghijrahan diri kerana kita akan terikut atau diajak berbuat kebaikan bahkan menegur kesalahan dan dosa yang kita lakukan.
4. Menghayati sirah Nabi SAW dan para sahabat.
Walaupun ada dalam kalangan sahabat ada yang sudah dijamin syurga tetapi itu tidak menjadi sebab mereka bermalas-malasan dalam ibadah.
5. Mulakan amal soleh secara berperingkat-peringkat tetapi berterusan
Bermula dengan jumlah yang sedikit kepada jumlah yang banyak ataupun bermula dari peringkat yang rendah hingga ke peringkat yang tinggi secara perlahan-lahan dan berterusan (istimrar).
Daripada Aisyah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Muslim).
Konklusinya, adalah amat rugi bagi kita jika tidak mengambil kesempatan dan peluang yang Allah berikan ini untuk menambah amal ibadah kepada Allah SWT. Jadikanlah bulan Syawal ini sebagai ruang untuk kita meneruskan momentum beramal soleh kepada Allah SWT, mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang mendapat pandangan tertinggi di sisiNya dan penghuni syurga Allah yang kekal abadi.