Pasangan duet popular, Syamel, 27, dan Ernie Zakri, 28, kini mengikat pertunangan dalam satu majlis ringkas di kediaman Ernie, petang semalam.
Majlis ringkas tetapi meriah hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Alhamdulillah, saya gembira impian mahu menyunting Ernie sebagai bakal isteri akhirnya dimakbulkan. Saya gementar juga apabila mengenangkan alam pertunangan ini banyak dugaan seperti yang sering diperkatakan. Saya akui perkara inilah yang amat ditakuti.
“Namun, insya-Allah, saya dan Ernie akan menjaga diri dan batas pergaulan. Kami takkan berjumpa selalu. Apa yang diharapkan, doa peminat bukan sahaja hubungan ini sampai ke jenjang pelamin, malah kekal hingga ke akhir hayat,” katanya kepada BH Online.
Syamel turut memuat naik gambar pertunangand di akaun Twiiter nya.
Mengulas tarikh diijabkabulkan, penyanyi yang popular dengan lagu Hidup Dalam Mati dan Kau Pun Sama itu memberitahu, tiada sebarang perbincangan menetapkan tarikh perkahwinan. Bagaimanapun, katanya dia tidak mahu bertunang lama-lama.