Surah Al Mulk, amalan Nabi SAW setiap malam
Untuk pengetahuan anda, Surah Al-Mulk merupakan surah yang ke – 67 terkandung dalam Al-Quran. Ia antara surah yang mempunyai kelebihan yang boleh melepaskan kita dari azab kubur.
Namun ramai yang mungkin masih tidak tahu akan keistimewaannya dan tidak berusaha untuk mengamal untuk membacanya akibat terlalau sibuk dengan urusan duniawi.
Surah Al-Mulk diturunkan di Mekah yang mengandungi 30 ayat. Malah, surah ini juga dikenali sebagai At Tabaarak yang bermakna Maha Suci.
Antara kelebihan yang terdapat apabila membaca Surah Al-Mulk adalah:
- Diampunkan dosa bagi yang membacanyaUmat islam tidak lari daripada melakukan dosa dan khilaf, yang kita tidak tahu sudah diampunkan atau belum. Oleh itu Surah Al-Mulk sebagai syafaat untuk mengampunkan dosa.
Daripada Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.” (Riwayat Abu Dawud, Ahmad, at-Tirmizi, Riyadh as-Salihin oleh Imam Ahmad)
- Surah Al Mulk penyelamat dari azab kubur
Jika kita merisaukan keadaan azab dalam kubur nanti, kita boleh persiapkan diri kita dengan perisai iaitu membaca Surah Al – Mulk. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa membaca surah al-Mulk setiap malam, Allah SWT akan menghindarkannya dari seksa kubur dengan surah tersebut. Pada masa Nabi SAW kami menamakannya dengan al-Mani‘ah (penghalang). Ia adalah surah dalam al-Quran yang jika dibaca setiap malam, maka pembacanya akan mendapatkan banyak kebaikan.” (HR al-Nasa’i dengan sanad yang baik).
- Amalan Nabi Muhammad SAW setiap malam
Kita diajar untuk sentiasa mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Jadi apabila kita mengamalkan membaca surah Al-Mulk sebelum tidur kita sudah mengikuti sunnah Baginda.
Hadis Riwayat Tarmizi yang bermaksud,
“Sesungguhnya Nabi SAW tidak tidur hingga beliau membaca Surah al-Sajdah dan Surah Al-Mulk” (Hadis Riwayat Tirmizi)
- Surah Al- Mulk menjadi pembela di hari akhirat
Membaca surah ini menjadi pembela kepada orang yang membacanya di hari akhirat sehingga pembacanya masuk ke Syurga Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Ada surah dari Al-Quran, ia tidak terdiri kecuali hanya 30 ayat. Surah tersebut dapat membela pemiliknya (orang yang banyak membacanya) sehingga memasukkannya ke syurga iaitu, surah تَبَارَكَ “ (Hadis Riwayat Thabrani)
Begitulah antara kelebihan-kelebihan membaca Surah al-Mulk dan semoga Allah memberikan kekuatan untuk kita mempelajari, mentadabbur dan mengamalkan Surah ini dalam seluruh kehidupan kita.
Jadi jom sama-sama kita jadikan Surah Al-Mulk sebagai amalan seharian dalam kehidupan kita. Moga ia akan terus memberi syafaat bagi orang yang membacanya dengan penuh istiqamah.