Superagers dengan ingatan yang tajam dalam usia 80-an
Oleh : Noorielyana – Wartawan Pelatih Ummah Today
Superagers iaitu mereka yang berumur 80 tahun ke atas dengan ingatan yang sangat baik adalah mungkin mempunyai neuron yang lebih besar daripada biasa di kawasan otak yang penting untuk ingatan.
Dengan usia itu, kebanyakan orang mengalami kemerosotan secara beransur-ansur pada ingatan mereka, tetapi ada juga yang mengekalkan keupayaan yang luar biasa untuk mengingati peristiwa masa lalu pada usia lapan puluhan atau lebih dan setanding dengan orang yang berumur 20 hingga 30 tahun lebih muda.
Di samping kemerosotan dalam ingatan, otak juga secara semula jadi mengecut mengikut usia, tetapi dalam kajian terdahulu mendapati ini kurang berlaku kepada superager.
Kini, penyelidik telah menunjukkan bahawa superager mungkin mempunyai neuron yang lebih besar daripada jangkaan dalam korteks entorhinal mereka iaitu di komponen sistem ingatan otak.
Tamar Gefen di Northwestern University di Illinois dan rakan-rakannya menggambarkan otak yang disumbangkan oleh enam superager yang meninggal dunia pada usia purata 91 tahun. Enam daripada individu itu sebelum ini mengambil bahagian dalam penyelidikan berterusan terhadap superager.
Imej-imej ini dibandingkan dengan tujuh orang yang meninggal dunia pada usia purata 89 dan enam orang lagi yang meninggal dunia pada purata 49, yang kesemuanya mempunyai ingatan yang dianggap normal bagi usia mereka.
Dalam kalangan superager, neuron korteks entorhinal mereka adalah sekitar 10 peratus lebih besar daripada orang yang meninggal dunia pada usia yang sama dengan ingatan yang dijangkakan.
Neuron superager adalah sekitar 5 peratus lebih besar daripada orang yang meninggal dunia 40 tahun lebih muda dan ini menunjukkan bahawa neuron yang lebih besar daripada purata boleh menyumbang kepada ingatan yang luar biasa pada usia 80 tahun ke atas.
Superager juga mempunyai lebih sedikit gumpalan protein di dalam neuron mereka berbanding rakan seusia mereka yang meninggal pada umur yang sama. Pembentukan protein yang tidak normal telah didapati sebagai punca penyakit Alzheimer.
“Saya belum pasti mengapa neuron yang lebih besar dikaitkan dengan ingatan yang terpelihara,” kata Gefen.
“Selain itu, satu hipotesis lain ialah mereka lebih baik dari segi struktur dan boleh menjana sambungan saraf yang lebih optimum,” tambahnya.
“Kajian keseluruhan telah menambah bukti yang semakin kukuh bahawa superager berbeza daripada orang dewasa biasa pada pelbagai peringkat otak,” kata Alexandra Touroutoglou di Harvard Medical School.
“Saiz sampel di sini agak kecil, tetapi itu boleh difahami. Superager adalah kumpulan yang jarang berlaku, jadi agak sukar untuk mencari bilangan yang baik dalam kajian otak,” katanya.
Menurut Joseph Andreano, juga di Sekolah Perubatan Harvard, kawasan otak lain yang dikaitkan dengan pemahaman yang telah ditunjukkan berbeza dengan saiz dalam superager berbanding dengan orang yang mempunyai ingatan yang dijangkakan. Perkara ini adalah tidak jelas sama ada saiz neuron dalam korteks entorhinal secara khusus menyumbang kepada peningkatan ingatan, katanya.