SINGAPURA : Apa pun harganya, mereka tetap berkorban demi ayah mereka yang dijangkiti Covid-19 di Jakarta, Indonesia, namun sikap manusia prihatin mempermudah hasrat mereka berbakti buat ayah mungkin buat kali yang terakhir.
Seorang rakyat Singapura Abdul Rashid Sahari, 64 tahun, kini dalam keadaan kritikal setelah dijangkiti COVID-19 dan sedang dirawat dalam Unit Jagaan Rapi (ICU) di Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Beliau dijangkiti virus itu di Indonesia kerana bekerja di republik itu, malah isterinya, Cik Safiah Rawi Abed, 56 tahun, juga disahkan positif COVID-19.
Kedua-dua mereka diterbangkan dari Jakarta ke Singapura pada dua minggu lalu untuk mendapatkan rawatan, kerana Rashid dan Cik Safiah tidak mempunyai sebarang keluarga terdekat yang tinggal bersama mereka di Indonesia, kerana ketiga-tiga anak perempuan mereka menetap di Singapura.
Rashid sudah bekerja di Indonesia sejak lebih 20 tahun lalu dan kini merupakan seorang pegawai kawalan mutu di sebuah loji jana kuasa di Jakarta.
Kali terakhir beliau berada di Singapura adalah pada tahun 2019.
Memetik Berita Media Corp, menantu Rashid, Haikel Fahim berkata bapa mentuanya itu sebenarnya seseorang yang “sangat berhati-hati”.
Encik Rashid menjalani pemeriksaan COVID-19 setiap 10 hari, sebagaimana yang ditetapkan tempat kerjanya sebagai langkah berjaga-jaga.
Pada 26 November dia didapati negatif.
Malangnya, sehari kemudian, pada 27 November, Encik Rashid mula mengalami simptom-simptom COVID-19 seperti sakit tekak, demam dan cirit-birit, memaksa beliau sekali lagi menjalani pemeriksaan COVID-19.
Sementara menunggu hasil pemeriksaan, keadaan tubuhnya menjadi semakin lemah. Tiga hari kemudian, Encik Rashid diberitahu bahawa beliau positif COVID-19.
“Tapi Papa disuruh pulang ke rumah kerana tidak ada cukup katil di hospital. Jadi disuruh balik ke rumah, makan ubat, pulih di rumah dan kuarantin di rumahlah. Tak boleh keluar,” – Haikel/menantu
“Ibu mentua saya pun tinggal serumah. Jadi dah sah akan terjangkit juga. Alhamdulillah simptom-simptomnya tidak begitu teruk berbanding ayah mentua saya.”
Sambung Haikel, selang dua hari kemudian, keadaan bapa mentuanya semakin memburuk sehingga memaksanya pergi ke klinik buat kali kedua.
Pada mulanya beliau sekali lagi disuruh pulang, namun, disebabkan paras oksigen dalam badan Rashid tiba-tiba didapati rendah semasa di klinik, beliau akhirnya dirujuk ke sebuah hospital swasta di Jakarta.
Kebuntuan Encik Rashid sekeluarga bagaimanapun tidak berakhir di situ.
“Tidak ada orang yang tinggal dengan Mama di rumah. Bapa mentua saya sudah ada di hospital. Kalau ada apa-apa yang terjadi, tidak ada orang yang boleh bawa dia pergi ke hospital. Lagi pun dia positif COVID-19. Tidak ada orang yang boleh masuk ke rumah itu. Jadi kami sangat-sangat risau,” – Haikel/menantu
Beliau ada meminta pihak klinik supaya menahan dan memantau ibunya untuk setidak-tidaknya sehari, bagaimana pun rayuan itu ditolak.
“Memang tidak dibenarkan. Klinik kecemasan itu memang semata-mata untuk diperiksa. Kalau selagi sihat, dihantar pulang ke rumah. Kalau perlu rawatan yang seterusnya, (baru) akan dihantar ke hospital,” ujar Encik Haikel.
Kurang 48 jam selepas dirawat hospital, keadaan Encik Rashid menjadi kritikal sehingga “tidak boleh bercakap”.
Lebih merumitkan lagi keadaan, percubaan menghubungi pihak hospital untuk mencari tahu tentang keadaan Rashid juga agak sukar, kata Haikel.
Pada hari pertama bapa mentuanya dimasukkan ke hospital, Haikel sekeluarga tidak mendapat sebarang khabar atau kemas kini daripada pihak hospital. Mereka hanya dapat menghubungi hospital 20 jam kemudian.
“Itu pun bukan hospital hubungi kami. Kami dapat telefon ke hospital melalui talian utama mereka. Kadang talian terputus tetapi kita cuba lagi. Alhamdulillah, akhirnya dapat hubungi Papa dan dapat berbicara dengan doktornya di sana,” – Haikel / menantu
Apabila melihat keadaan kesihatan Encik Rashid semakin membimbangkan menerusi panggilan video, ketiga-tiga anak perempuannya sudah mula meraung.
“Masa itu dia tengah batuk-batuk, nafasnya tengah sesak sekali. Dia suruh periksa keadaan Mama. Tiga jam kemudian, kami dapat telefon dari doktor, menerusi panggilan video, bahawa kondisinya agak teruk.
“Sayalah orang yang terakhir dapat cakap dengan dia. Perkara terakhir saya memberitahunya adalah: ‘Papa, I will bring you back, I will bring you back to Singapore.’ (Papa, saya akan bawa anda pulang, saya akan bawa anda pulang ke Singapura),”
Demikian cerita Haikel mengimbas kembali detik-detik mencemaskan yang berlaku kira-kira dua minggu lalu.
Cabaran yang mereka hadapi tidak berhenti di situ.
Untuk membawa pulang ayahnya, hanya ada satu cara sahaja, iaitu pemindahan menerusi ambulans udara yang kosnya cukup mahal. Kaedah menggunakan pesawat peribadi yang dilengkapi ventilator dan pelbagai peralatan perubatan, memerlukan belanja lebih SD$66,000 (RM198,000) Itu belum lagi termasuk kos rawatan lain.
Luah Eaikel: “Memang pada mulanya kami agak risaulah. Macam mana nak bayar jumlah yang agak besar itu. Tapi seperti yang kami dah bincang dengan keluarga: Duit boleh cari, nyawa tak boleh. Mama dengan papa satu sahaja.”
Usaha itu beliau teruskan meskipun gerakan memindahkan Rashid dari hospital di Jakarta ke Singapura melibatkan risiko tinggi.
“Kami diberitahu risikonya agak tinggi sebab mungkin akan jejas keadaan pesakit semasa dipindahkan dari hospital ke ambulans darat, kemudian ke ambulans udara. Setibanya di Singapura, naik ambulans darat lagi, baru dibawa ke hospital.
“Kami tawakkal, kami berdoa. Kalau kami tak berbuat demikian, kami mungkin tak akan jumpa Papa lagi. Kami tak tahu kami akan jumpa Papa lagi ke tak,” kata Haikel.
Ternyata, janji beliau kepada ibu dan bapa mentuanya itu dikotakan.
Rashid selamat mendarat di Singapura pada 7 Disember lalu sementara Cik Safiah tiba sehari kemudian dalam pesawat berlainan.
Meski Rashid dan isterinya kini berada di Singapura, mereka belum lagi dapat bertemu secara bersemuka dengan tiga anak perempuan, menantu dan tiga cucunya.
Di bilik ICU NCID, beliau hanya dapat dilihat dari jauh, dipisahkan oleh dinding kaca.
“Kondisinya masih kritikal. Kami dibenarkan untuk menjenguknya satu persatu dari jauh. Jadi kami dapatlah berbual dengannya melalui interkom. Walaupun dia tidak boleh menjawab, tapi dia boleh mendengar.
“Alhamdulillah, satu atau dua hari lepas, kami dapat lihat Papa memberi reaksi. Kami dapat lihat dia angkat tangan, dia angguk. Dari situ, kami yakin yang dia semakin pulih,” cerita Haikel.
Ibu mentuanya pula kini di sebuah pusat pengasingan masyarakat kerana beransur pulih selepas ditahan di NCID untuk beberapa hari.
Seperkara yang membuat keluarga itu lega adalah mereka tidak lagi perlu bimbang tentang bayaran yang perlu dilunaskan.
Hasil rayuan dana secara dalam talian menerusi WordPress, Haikel akhirnya berjaya mengumpul derma SD$88,000 (RM264,000) daripada orang ramai untuk keperluan kecemasan itu dan beliau menzahirkan rasa syukur itu.
“Itu tidak dijangkakan sekali. Bila kita mulakan kempen, kita jangkakan mungkin dapat separuh daripada matlamat kami. Tapi dalam masa 23 jam sahaja, Alhamdulillah dengan bantuan semua orang, kawan, keluarga, ‘influencer-influencer’ yang kami tak pernah jumpa, kami dapat mencapai matlamat,”
“Yang ada tak dapat membantu dari segi kewangan, tapi diberi doa, diberi kata-kata perangsang. Kami sungguh terharu.” – Artikel dari Berita MediaCorp