Sultan Selangor seru teladani peribadi dan sunnah Rasulullah

KUALA LUMPUR : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1443 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Selangor.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam agar menyegarkan kembali penghayatan terhadap sejarah perjalanan hidup Rasulullah SAW.
“Baginda menyeru seluruh umat Islam agar memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Semoga kita semua beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak,” menurut hantaran itu.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, Baginda turut menyeru umat Islam meneladani nilai murni peribadi Nabi Muhammad dan mengikuti segala sunnah serta ajaran Rasulullah SAW.