Semasa

Sultan Selangor benar masjid, surau guna ruang sepenuhnya untuk solat Jumaat

SHAH ALAM : Semua masjid dan surau kebenaran Solat Jumaat dibenarkan menggunakan sepenuhnya ruang solat utama dan limpah bagi menunaikan solat berkenaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan menetapkan jarak satu meter antara satu jemaah dengan jemaah lain.

Menurutnya, satu surat ketetapan akan dikeluarkan JAIS kepada semua masjid dan surat terlibat dalam tempoh terdekat untuk dilaksanan pada hari Jumaat bertarikh 21 Januari ini.

“Ketetapan baharu ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah bilangan jemaah yang dibenarkan melalui ketetapan terakhir JAIS pada 1 November tahun lalu.

“Sebanyak 427 buah masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran Solat Jumaat akan terlibat dengannya.

“Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kepada jemaah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau juga berharap ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda dalam mengerjakan solat Jumaat.

“JAIS amat berharap agar ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan kefarduan mengerjakan Solat Fardu Jumaat,” menurutnya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button