JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar zahir rasa kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang cuba mengganggu gugat kerajaan dan berebut kuasa ketika negara berdepan ancaman Covid-19.
“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.
“Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah.
“Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki.
“Oleh itu, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air,” titah baginda.
Sultan Ibrahim menerusi Facebook rasmi bertitah, sekarang adalah masa untuk berebut membantu rakyat, bukan masa untuk berebut kuasa dan kedudukan.
Oleh Nurshazlin Shahrom