Suki Wong akhirnya dapat guru tadika, belajar membaca dwibahasa
Bangi : Kisah Suki Wong semakin mendapat perhatian orang ramai sejak berita mengenai kesungguhannya menjaga seorang diri ayahnya yang mengalami penyakit strok, dihebahkan oleh MAPIM Malaysia.
Walaupun Encik Wong Kon Foo berterima kasih dan berasa sangat terharu dengan keprihatinan orang ramai, tetap timbul rasa khuatir kerana pengunjung yang datang tidak mengira siang dan malam, lalu menganggu kehidupan peribadi keluarganya. Beliau juga risaukan keselamatan anaknya kerana terlalu ramai datang melawat.
Dalam pada itu, Suki Wong yang kini berumur 10 tahun, yang dahulunya tidak berpeluang mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain akhirnya menerima seorang sukarelawan yang sudi menjadi gurunya.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terawal mendapat tahu keadaan dua beranak, berjaya dapatkan guru sukarelawan yang akan hadir ke rumah Suki setiap Sabtu bagi mengajarnya membaca dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Sukarelawan yang tidak mahu dikenali mempunyai pengalaman mengajar di sekolah tadika dan dapat tahu mengenai Suki menerusi MAPIM yang memberi bantuan kepada keluarga itu sejak tahun lalu.
Baru-baru ini, pihak Astro juga telah menziarahi keluarga Suki untuk bertanyakan khabar mereka, di samping menjalankan penggambaran bersama Suki untuk disiarkan di kaca televisyen dalam masa terdekat.
Bantuan MAPIM ini adalah bukti yang MAPIM tidak memilih bangsa dan agama dalam mengagihkan bantuan kemanusiaan. Suki kini mampu mendapat melalui zaman kanak-kanak seperti orang lain dan semoga anak kecil ini dapat memperoleh kejayaan pada masa akan datang dan terus berbakti kepada ayahnya.