DuniaSemasa

Suhu tertinggi dicatatkan dijangka berlaku selang 3 tahun di India, Pakistan

LONDON : Perkhidmatan cuaca Britain mendapati gelombang haba terburuk bakal melanda kawasan barat laut India dan Pakistan dengan peningkatan sebanyak 100 kali ganda ekoran perubahan iklim dunia

Menurut laporan Badan Penyiaran British (BBC), gelombang haba dengan suhu lebih tinggi daripada suhu tertinggi yang direkodkan pada 2010 dijangkakan berlaku selang tiga tahun.

Suhu melampau seperti yang dijangkakan hanya akan berlaku sekali setiap 312 tahun sekiranya tiada perubahan iklim.

Laporan itu dibuat ketika pakar-pakar cuaca memaklumkan bahawa suhu di barat laut India berpotensi mencecah paras tertinggi baharu dalam masa beberapa hari akan datang.

Sejak Pakistan mencatat suhu ekstrem 51 darjah Celsius Sabtu lalu, gelombang haba menjelang musim hujan yang melanda rantau itu sejak beberapa minggu lalu dilaporkan sedikit reda.

Namun, suhu panas diramal meningkat semula lewat minggu ini, demikian amaran oleh Unit Bimbingan Global Jabatan Meteorologi.

Menurutnya, suhu di beberapa kawasan rantau berkenaan boleh mencecah maksimum 50 darjah Celcius.

“Gelombang haba sentiasa menjadi ciri cuaca sebelum musim hujan bermula. Namun, kajian kami mendapati kemungkinan gelombang haba untuk mencatat suhu tertinggi meningkat lebih 100 kali ganda,” kata ketua kajian, Dr. Nikos Christidis.

Ia adalah berdasarkan analisis gelombang haba yang melanda barat laut India dan Pakistan pada April dan Mei 2010, apabila rantau itu merekodkan suhu purata dua bulan tertinggi sejak tahun 1900.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button