DuniaSemasa

Suhu panas ketika musim haji dijangka cecah 50 darjah Celcius

JAKARTA : Suhu musim panas di Arab Saudi dijangkakan boleh mencecah 50 darjah Celcius ketika musim haji pada Julai ini.

Menurut laporan CNN Indonesia, Menteri Agama Indonesia, Yaqut Kholil Qoumas berkata suhu di negara itu ketika ini antara 40 hingga 44 Celsius dan beliau dimaklumkan, suhu tersebut belum tiba kemuncaknya.

“Saya dimaklumkan, suhu panas boleh mencecah 50 Celsius ketika musim haji berlangsung. Oleh yang demikian, semua jemaah perlu menjaga pemakanan dan kesihatan yang maksimum sebagai persediaan menghadapi suhu panas ini.

“Kita tidak mahu jemaah jatuh sakit akibat suhu yang tinggi, maka persiapan perlu dilakukan dari sekarang,” katanya.

Selain itu, para jemaah juga diingatkan agar membiasakan diri dengan persekitaran di tanah suci supaya dapat menunaikan haji dengan lancar sehingga selesai.

Beliau juga memberitahu bahawa semua kemudahan untuk para jemaah seperti pengangkutan, penginapan dan penyediaan makanan sudah diselesaikan.

“Semua persiapan sudah selesai, hanya menunggu ketibaan jemaah bagi menunaikan haji.

“Jangan ambil mudah dengan keadaan suhu di Arab Saudi, banyakkan minum air dan laporkan segera jika kesihatan terjejas,” ujarnya.

Lebih 93,000 bakal jemaah akan berangkat ke tanah suci bagi menunaikan ibadah haji bermula Jun ini.

Kumpulan jemaah pertama akan berlepas ke tanah suci pada 4 Jun 2022 dan mendarat di Lapangan Terbang Madinah, manakala kumpulan jemaah terakhir berlepas pada 3 Julai ini dengan mendarat di Lapangan Terbang Jeddah.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button