PalestinSemasa

Sudah seminggu tiada bekalan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza

oleh: Sabhan Iman

Tiada bekalan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza sejak 7 Oktober, dua juta orang di seluruh Gaza bakal menghadapi kehabisan air, kata agensi PBB untuk pelarian Palestin pada hari Sabtu.

Menurut Philippe Lazzarini, pesuruhjaya agung UNRWA, dalam satu kenyataan berkata ia telah menjadi soal hidup dan mati. Ia adalah satu kemestian; bahan api perlu dihantar sekarang ke Gaza untuk menyediakan air untuk 2 juta orang.

Orang ramai terpaksa menggunakan air kotor dari telaga selepas loji air Gaza dan rangkaian air awam berhenti berfungsi, katanya sambil memberi amaran bahawa keadaan itu memburukkan lagi risiko penyakit bawaan air. Tambahnya, Gaza juga mengalami gangguan bekalan elektrik sejak Rabu, yang turut menjejaskan bekalan air.

Beliau juga menegaskan bahawa air minuman juga kehabisan di selatan Gaza, di mana beribu-ribu orang telah mencari perlindungan sejak Israel mengarahkan lebih 1 juta penduduk Gaza meninggalkan rumah mereka di jalur utara untuk pergi ke selatan pada hari jumaat. Hanya dalam tempoh 12 jam yang lalu, ratusan ribu orang telah dipindahkan. Penghijrahan berterusan apabila orang ramai berpindah ke bahagian selatan Semenanjung Gaza. Hampir 1 juta orang telah dipindahkan dalam masa satu minggu sahaja.

Beliau kemudian menekankan keperluan untuk menghantar bahan api ke Gaza, berkata, “Bahan api adalah satu-satunya cara untuk orang ramai mendapat air minuman yang selamat. Jika tidak, orang ramai akan mula mati akibat dehidrasi yang teruk, antaranya kanak-kanak kecil, orang tua, dan wanita.”

Air kini “talian hayat terakhir yang tinggal,” katanya. “Saya merayu agar pengepungan terhadap bantuan kemanusiaan ditarik balik sekarang.”

Dalam satu kenyataan berasingan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata penyakit bawaan air yang disebabkan oleh kekurangan air bersih dalam kalangan orang yang disekat boleh menyebabkan kematian.

“Kekurangan akses kepada air bersih adalah risiko segera untuk wabak penyakit bawaan air, yang boleh membawa maut dalam kalangan populasi yang rapuh dengan akses terhad atau tiada akses kepada penjagaan kesihatan,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus, ketua pengarah WHO di X.

Sumber: AA

Related Articles

Back to top button