Suasana hiba, sayu selubungi pengebumian Omar Abul-Majid As’ad
RAMALLAH : Ratusan rakyat Palestin menghadiri perarakan pengebumian Omar Abul-Majid As’ad, seorang warga Palestin-Amerika berusia 80 tahun yang meninggal dunia selepas dipenjarakan dan diserang teruk oleh tentera Israel semasa operasi ketenteraan di Tebing Barat yang diduduki pada Khamis.
Ratusan penduduk yang berkabung bersama ahli keluarganya, menghadiri perarakan pengebumian lelaki tua itu.
Lelaki warga emas Palestin-Amerika itu meninggal dunia akibat serangan jantung pada hari Rabu, seperti yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan, selepas ditahan secara kejam dan dipukul oleh pasukan penjajah Israel yang turut menutup mata dan menggarinya semasa serbuan tentera pada waktu malam di kampung Jiljilyya, utara Ramallah di Tebing Barat yang diduduki.
Penduduk tempatan menjelaskan bahawa pasukan pendudukan Israel menyerbu perkampungan Jiljilyya selepas tengah malam dan mula menyerang penduduk lalu-lalang pada waktu itu.
As’ad pulang ke rumah selepas menziarahi sanak saudaranya. Tentera penjajah menghentikan kenderaannya dan menariknya keluar. Mereka menutup mata dan menggarinya sebelum mula mengheretnya ke tanah dan memukulnya dengan kejam, meninggalkannya di dalam bangunan dalam pembinaan di kampung Jiljilyya.
Dalam kira-kira jam 4:30 pagi, tentera penjajah Israel telah meninggalkan kampung itu dan As’ad kemudian ditemui mati oleh seorang penduduk yang berjalan di kampung berhampiran bangunan itu.
Gambar-gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan seutas tali leher plastik hitam di sekeliling sekurang-kurangnya satu pergelangan tangannya.
Menurut keluarganya, As’ad mempunyai sejarah penyakit jantung dan paru-paru dan dia telah tinggal di Milwaukee selama beberapa dekad sebelum kembali ke Tebing Barat yang diduduki kira-kira 10 tahun lalu.
Susulan kematian seorang warga AS berusia 80 tahun, AS meminta Israel berikan penjelasan mengenai kematian tersebut.
“Kami telah berhubung dengan keluarga Encik As’ad untuk mengucapkan takziah mengenai tragedi ini. Kami menyediakan semua bantuan konsular kepada keluarga pada masa ini,” kata jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price sambil mengesahkan bahawa As’ad adalah warganegara Amerika.
“Kami juga telah berhubung dengan kerajaan Israel bagi mendapatkan penjelasan mengenai insiden ini, dan seperti yang anda lihat Angkatan Pertahanan Israel telah menyatakan bahawa siasatan sedang diteruskan,” katanya.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM