EkonomiPendidikanSemasaSyria

Suaminya lumpuh ketika dia adalah suri rumah

Apa pilihan yang tinggal?

Menjadi perempuan harus kuat. Menjadi isteri semakin wajib kuat. Itu kenyataan yang sering didengar tetapi ‘kuat’ yang bagaimana? ‘Kuat’ tidak datang sendiri, ia datang dengan ujian Tuhan dan barulah ‘kuat’ itu hadir dalam diri.

Itu yang wanita ini alami. Bernikah pada tahun 2002, dengan Muhammad Idzwan Bin Othman yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik, University of Toledo, Ohio, semuanya bermula dengan bahagia.

Dikurniakan pula dengan empat orang anak yang comel dan cerdik. Lalu beliau mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menjaga anak-anak. Sehinggalah pada 8 Mac 2015, suaminya diserang stroke, dan kisah hidupnya mula berubah.

Inilah kisah beliau, yang berasal dari kampung Serkam Pantai, Melaka. Anak bongsu daripada sembilan bersaudara. Puan Raudzah binti Arippin. Isteri yang kuat untuk suami, ibu yang tenang untuk anak-anak.

Puan Raudzah binti Arippin bersama kucing kesayangan
Bersama keluarga

Sebelum mengambil keputusan menjadi suri rumah, Puan Raudzah yang memiliki Ijazah Kejuruteraan Sistem Komputer & Komunikasi daripada Universiti Putra Malaysia, (UPM) memilih untuk menjadi jurugambar dan menjual pakaian Muslimah. Kerja itu memudahkannya mengatur masa kerana anaknya menyusu ibu sepenuhnya.

Idzwan pula baru beralih bidang menjadi perunding hartanah sepenuh masa. Suaminya diserang stroke pada waktu tengah hari, 8 Mac 2015, ketika sedang mengadap komputer. Beliau dibawa ke Kecemasan Hospital Ampang. Sekitar jam 3 petang, doktor sahkan suaminya kritikal kerana mengalami pendarahan yang teruk dalam otak, atau stroke pendarahan (hemorrhagic stroke). Stroke pendarahan ini berpunca daripada tekanan darah yang terlalu tinggi, hingga mengakibatkan salur darah dalam otak pecah. Pendarahan teruk itu terjadi di bahagian kanan basal ganglia.

Suaminya dipindahkan ke HKL, kerana di HKL ada pakar neurosurgeri. Pada lebih kurang jam 12 tengah malam hari yang sama, Idzwan menjalani pembedahan craniotomy, iaitu pembedahan untuk membuka tempurung kepalanya bagi membuang pendarahan di dalam otak. Pembedahan berjaya tanpa sebarang komplikasi. Idzwan koma selama 10 hari dan kemudian ditempatkan di wad neuro, Institut Kaji Saraf HKL selama lebih sebulan.

Kesan daripada pendarahan otak itu, suaminya lumpuh (hemiplegia) sebelah kiri tubuh. Doktor juga mengesahkan suaminya mengalami kecacatan kekal, berikutan kerosakan sel otak yang berlaku.

Hospital adalah rumah kedua

Hidup pun mula berubah.

Semasa doktor memaklumkan yang suaminya kritikal, Puan Raudzah hanya ingat ayat suci ini;

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah Al Baqarah, ayat 286).

Untuknya secara peribadi, ayat itu, selain menguatkan emosi, ia juga memberitahu bahawa Allah memandang dan Allah menguji bukan kerana kita lemah. Dia juga menguji bukan kerana kita kuat. Tetapi Dia menguji untuk menjadikan kita hamba yang kuat. Beliau juga percaya Allah telah mempersiapkan dia sebaik-baiknya sebelum dihantar ujian besar ini. Bagaimana?

Allah persiapkan beliau melalui emaknya sendiri – Fatimah Binti Abdullah yang sekarang berusia 85 tahun. Beliau menyaksikan pengorbanan dan susah payah emak yang menjaga ibunya (nenek Puan Raudzah) yang sakit terlantar selama 9 tahun, dari tahun 1995 hingga 2004. Tanpa sebarang kemudahan seperti yang ada sekarang seperti katil hospital dan bantuan peralatan daripada PERKESO. Untuk Puan Raudzah emaknya seorang ‘wira’ yang Allah hantar awal-awal untuk menjadi inspirasi dan contoh teladan yang baik untuknya.

Kekuatan

Untuk seorang ibu, kekuatan dan pendorong tentunya anak-anak.

Semasa mula-mula suaminya sakit, anak sulung sedang sibuk bersiap untuk UPSR. Yang bongsu baru setahun 2 bulan. Fikirannya kusut tetapi beliau punyai fikiran yang kuat. Kalau dia lemah, apa akan jadi pada anak-anaknya? Dia tidak boleh lemah, dia mesti kuat.

Si bongsu yang cerdik

Ini kerana anak-anak akan melihat apa respon ibu terhadap ujian besar ini. Beliau bertanggungjawab menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Mereka akan mencontohi apa yang ibu bapa buat. Puan Raudzah juga menangis tetapi beliau mengelak untuk menangis di hadapan anak-anak. Sekiranya rasa mahu menangis, beliau menangis di dalam kereta atau di bilik air.

Selain itu, bagi menguatkan hati beliau menulis dan mencatat perjalanan kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu yang diuji dengan suami yang sakit. Itu juga dorongannya kerana anak-anak. Beliau sering memberitahu anak-anak, dalam apa juga keadaan, kita mesti jadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain.

“Walaupun ibu sangat sibuk menguruskan abah sakit, ibu mahu orang lain belajar daripada pengalaman ibu. Kalau tidak banyak, mesti ada sedikit hal-hal baik dan berguna yang kita boleh kongsi dengan orang lain. Biar kita tidak kaya di dunia, tapi kita kaya saham untuk bekal ke alam sana, mudah-mudahan.”

Cabaran

Tanggungjawab sebagai isteri dan ibu menjadi berganda. Sebelum ini, banyak perkara yang boleh dibawa berbincang dan rancang bersama suami. Tetapi apabila suami sudah terlantar, maka banyak keputusan dan perancangan mesti dibuat sendiri. Hal persekolahan anak-anak, hal kewangan keluarga, makan minum, rawatan suami dan banyak lagi perlu diuruskan dan dipikul sendiri.

Namun, Puan Raudzah bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa mentua yang memahami dan membantu semampunya waktu suaminya mula-mula terlantar dulu. Kerana itu sokongan keluarga dan orang keliling sangat penting apabila terjadi perkara begini (ahli keluarga ditimpa sakit kronik). Tanpa sistem sokongan yang baik, penjaga pesakit boleh mengalami tekanan mental dan kemurungan yang teruk.

Apabila mengurus keluarga seorang diri dan perlu menguruskan suami yang hilang upaya, cabaran yang berat adalah menguruskan emosi. Kita ini manusia. Akan ada waktu emosi sangat bercelaru terutamanya apabila ditimpa penat melampau atau tidak mendapat rehat dan tidur yang mencukupi. Ditambah dengan banyaknya tanggungjawab yang perlu difikir dan diselesaikan.

Cabaran mengurus emosi ini bukan hanya emosi diri sendiri, tetapi emosi anak-anak yang perlu membiasakan diri dengan ‘kehidupan baru’ – abah sakit, ibu sibuk, sudah tidak dapat bebas bercuti ke sana sini lagi, ibu kerap ke hospital bawa abah, ada program di sekolah yang ibu tidak dapat hadir, dan macam-macam. Semua hal ini mempengaruhi emosi anak-anak yang sedang membesar.

Kemudian datang pula faktor kewangan. Apabila ahli keluarga ditimpa penyakit kronik, kos perubatan dan keperluan rawatan akan meningkat. Apatah lagi sekiranya pesakit itu merupakan tonggak utama pendapatan keluarga. Hal kewangan ini memang antara isu utama. Puan Raudziah mengaku, semasa suaminya sakit, simpanan mereka amat sedikit. Mujurlah keluarga kedua pihak (Keluarga Puan Raudzah dan suami) sangat banyak bantu. Untuknya, ia satu pengalaman hidup yang beliau perlu belajar dengan ikhlas, di mana hidup tidak selamanya di atas. Ada masa kita akan berada di bawah. Waktu itu beliau ketepikan rasa malu. Beliau memohon bantuan zakat, dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kewangan adalah cabaran besar

Dalam menghadapi semua cabaran itu, ada tiga perkara yang selalu Puan Raudzah tanamkan dalam fikiran. Berikut tip daripada beliau.

1. Fikir positif

Bagaimana untuk berfikiran positif? Mesti selalu bersangka baik dengan Tuhan. Saya selalu ingatkan diri saya, bahawa ujian menjaga suami sakit ini adalah cara Tuhan mahu beri rahmat ke atas saya dan keluarga. Sakit adalah rahmat. Ujian juga rahmat.

2. Fokus Penyelesaian

Jangan fokus kepada masalah kerana masalah jika makin difikir akan bertambah kusut fikiran. Fikirkan apa penyelesaian terbaik terhadap setiap satu permasalahan. Selesaikan satu per satu mengikut keutamaan. Minta pandangan dan nasihat daripada orang yang betul.

3. Tenang dan Sabar

Semasa Idzwan jatuh sakit, ramai yang mesej saya supaya sabar. Walaupun ia nasihat yang klise, tetapi saya ambil nasihat tersebut dengan sebenar-benarnya. Sabar ini bukan sesuatu yang mudah. Ia hubungan antara pemikiran dan perbuatan. Berfikir positif, bersangka baik, baca Al Qur’an, baca buku dan artikel yang baik, mendengar nasihat orang alim, berkawan dengan orang-orang baik, insyaAllah akan membentuk sabar. Sabar tidak akan datang sendiri tanpa ‘connection’ dengan cara kita berfikir. Dalam Al Qur’an, Allah sebut perihal sabar sebanyak 90 kali. Yang paling saya terkesan :

Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut ayat yang ke 58 dan 59 yang bermaksud : (58) “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal didalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh. (59) (iaitu) mereka yang sabar dan mereka yang berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.

Pesanan

1. Isteri atau ibu perlu lengkapkan diri dengan ilmu.

– Banyakkan membaca tentang hal-hal kesihatan, pengurusan kewangan dan sebagainya.

– Apabila berilmu, mental kita lebih bersedia jika dilanda musibah secara tiba-tiba.

– Ilmu akan memandu kita untuk membuat keputusan yang betul.

– Ilmu akan mendorong kita menjadi berani berhadapan ujian.

2. Elak bergantung sepenuhnya pada suami.

– Jangan jadi isteri yang terlebih manja, semua hal suami buatkan. Suami juga tidak boleh manjakan isteri berlebih-lebihan.

– Dalam sesetengah hal, isteri perlu belajar berdikari dan lengkapkan diri dengan kemahiran yang penting. Contoh mudah : kemahiran memandu kereta. Suami juga tidak boleh serah semua hal. pengurusan rumah pada isteri. Mesti ambil tahu, kerana isteri anda juga tidak terjamin akan sihat selamanya.

3. Rancang keperluan dan persediaan masa depan.

– Pastikan ada duit simpanan atau tabung kecemasan.

– Ambil pelan perlindungan dan medical card ketika sihat.

– Bincang dengan pasangan, sekiranya terjadi apa apa yang tidak diingini, apa perancangan perlindungan dari sudut kewangan dan sebagainya.

– Beritahu pasangan tentang sebarang hutang, pinjaman dan sebagainya.

– Suami jangan rahsiakan nombor pin kad ATM dengan isteri terutama jika isteri anda tidak bekerja. Jika suami jatuh sakit, isteri hanya ada sumber kewangan dari simpanan suami.

Mengalas peranan sebagai ketua keluarga

Kini Puan Raudzah adalah perunding hartanah, kerjaya terakhir suaminya sebelum stroke. Walaupun dalam serba kesibukan dan kesukaran, beliau berjaya membuktikan bahawa urusan kerja tetap boleh diberikan yang terbaik. Buktinya, untuk bulan Februari 2021, beliau berjaya mendapat kedudukan kedua dalam syarikatnya sebagai perunding hartanah.

Perunding hartanah yang berwibawa

Kata-kata akhir daripada Puan Raudzah,

Ada kebaikan, dalam setiap kesusahan. Begitu juga, ada kemudahan dalam setiap kesulitan.

Saya fikir, Allah telah permudahkan hidup saya begitu banyak. Dia hanya beri saya ujian suami yang sakit, tetapi Dia beri saya keluarga dan saudara mara yang baik. Dia kurniakan saya anak-anak yang sihat dan belajar dengan baik. Dia rezekikan saya juga sahabat-sahabat yang baik, jiran-jiran yang baik, kediaman yang baik, kenderaan yang baik. Kini saya juga ada kerjaya yang baik. Yang paling penting, Dia beri saya kesihatan yang baik untuk menguruskan semuanya. Pada saya ini semua rezeki dan rahmat yang tidak ternilai.

Tidak ada apa yang boleh saya rungutkan. Malah perlu berbanyakkan syukur. Ujian ini sesungguhnya bukan musibah. Tetapi rahmat yang telah mengubah seluruh persepsi saya terhadap kehidupan yang sebenar.

Wallahu’alam.

Related Articles

Back to top button