IPOH: Seramai 496 individu ditahan polis dalam Op Tapis Khas termasuk 16 daripadanya warga asing dan sepasang suami isteri kerana disyaki mengedar dadah selain memiliki sepucuk pistol jenis Revolver bersama tiga peluru hidup.
Pasangan itu direman tujuh hari mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata ketika pasangan itu ditahan, pihak polis menemui sepucuk pistol jenis Revolver.38 bersama tiga butir peluru hidup SME.38 SPL 02 di sebuah rumah di Mambang Di Awan, Kampar menerusi operasi selama tiga hari bermula Jumaat lalu.
“Lelaki berkenaan didapati positif dadah selain turut mempunyai rekod kesalahan lampau, manakala wanita yang juga isterinya negatif dadah,” katanya.
Beliau berkata, operasi sama turut menahan 120 tokan atau pengedar dadah membabitkan serbuan terhadap 32 sarang penagih.
Menurutnya, 84 tokan disiasat mengikut Seksyen 39(b) ADB, jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori.
“Selain 84 yang ditahan bagi kesalahan mengedar dadah, 122 ditahan bagi kesalahan memiliki dadah, penagihan (254) dan 36 individu ditangkap mengikut Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah.
“Seramai 15 individu dikategorikan orang yang dikehendaki selain 50 adalah penagih tegar yang mana mereka pernah ditahan sebelum ini dan tindakan diambil mengikut Seksyen 39C ADB 1952 yang membawa hukuman lima tahun penjara dan tiga sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam sidang media khas sempena operasi itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, semalam.
Mior Faridalathrash berkata, operasi dijalankan dengan sebanyak 45 pegawai dan 279 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah.
Katanya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas melalui operasi berkenaan adalah RM67,795.60 termasuk 795.76 gram (g) heroin, syabu (374.87g), ganja (8.65g), selain 81.73 liter air ketum.