Dalam situasi tegang yang dihadapi oleh pihak berkuasa dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana masih ada rakyat yang tidak mematuhi arahan, siapa sangka Malaysia mendapat pujian dari pihak antarabangsa atas keberkesanan langkah pencegahan yang diambil.
Bank pelaburan Amerika Syarikat iaitu JP Morgan dalam satu kenyataan berpendapat tindakan kerajaan terbukti berkesan dalam membendung penyebaran dan intensiti pandemik Covid-19.
Dengan kadar kematian yang rendah, strategi ujian agresif Malaysia, “ujian setiap juta kapita”, jauh melebihi rakan Asean yang lain dan bahkan beberapa negara Eropah, tambahnya. Langkah proaktif ini membolehkan angka jangkitan yang dilaporkan lebih tinggi, tetapi memberi keyakinan kepada pelabur terhadap kadar kes jangkitan dan kematian yang tidak membimbangkan.
Kawalan pergerakan juga sememangnya membantu memperlahankan penyebaran (wabak) dan di samping dengan penutupan sempadan yang mengurangkan jangkitan akibat dari gelombang kedua. Oleh itu, kami percaya langkah kawalan risiko yang tegas diumumkan sebelum ini wajar dipuji. Kami melihat ini sebagai berkesan dalam membendung penyebaran dan mengelakkan kematian.
– Bank JP Morgan Kuala Lumpur
JP Morgan menggariskan tiga sebab dalam mengharapkan perkembangan yang sederhana dengan catatan kadar kematian yang lebih rendah di negara ini iaitu
- Ujian ke atas kes yang disyaki yang sangat aktif
Keupayaan Malaysia dengan ujian setiap juta kapita adalah 482, 4x-81x lebih tinggi berbanding negara-negara Asean lain (enam hingga 109 ujian per juta penduduk) dan lebih tinggi daripada beberapa negara EU, kata bank itu.
- Usaha proaktif untuk mengawal kadar jangkitan
Kerajaan sedang menguatkuasakan kawalan pergerakan di seluruh negara dengan begitu ketat sehingga melibatkan tentera bagi memastikan arahan dipatuhi oleh semua, ditambah dengan sekatan di sempadan bagi mengawal aliran keluar masuk untuk mengurangkan risiko jangkitan dari luar. - Keupayaan hospital
Katil bagi penjagaan kritikal di Malaysia ketika ini dianggarkan ada 1,060 (menurut data Pendaftaran Rawatan Rapi 2017). Dengan andaian 10 peratus daripada orang yang dijangkiti memerlukan penjagaan intensif, kapasiti hospital Malaysia kelihatan mencukupi untuk menguruskan risiko kematian.
Bagaimanapun, JP Morgan bimbang pandemik kini sedang memasuki fasa kenaikan graf jangkitan.
“Kami menjangkakan fasa ini akan turun dalam tempoh 1.5-2.0 minggu sebelum peringkat akumulasi, apabila kadar pertumbuhan jangkitan keseluruhan berpotensi untuk menjadi perlahan pada kadar 100-250 sehari. Kami menjangkakan jangkitan COVID-19 di Malaysia akan memuncak pada pertengahan April dengan anggaran 6,300 kes.”
Pada akhir minggu lalu, nisbah kematian Malaysia yang dilaporkan adalah 0.77 peratus berbanding purata global 4.4 peratus. Ini lebih rendah daripada sekitar 2.0 peratus yang dijangkakan oleh JP Morgan.