DuniaSemasa

SOP di Mekah longgar, wabak Covid-19 terkawal

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

MEKAH : Konsul Haji Malaysia, Tabung Haji (TH) di Jeddah, Muhammad Saimi Mat Som berkata penularan Covid-19 di Mekah dilaporkan semakin terkawal dan prosedur operasi standard (SOP) telah dilonggarkan, seperti tidak perlu memakai pelitup muka di kawasan terbuka.

Tambahnya lagi, beliau turut menyarankan agar jemaah haji Malaysia terus memakai pelitup muka bagi mengurangkan sebarang risiko jangkitan meskipun ada kelonggaran.

“SOP jemaah haji telah dilonggarkan dan mereka hanya perlu memakai pelitup muka di kawasan tertutup.

“Namun sebagai langkah berjaga-jaga, saya menasihati jemaah Malaysia supaya terus memakainya kerana jumlah jemaah akan terus meningkat,”

Tahun ini, kerajaan Arab Saudi memberi kebenaran seramai satu juta jemaah haji berumur bawah 65 tahun, untuk menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu.

Muhammad Saimi berkata, aplikasi TH Hujjaj digunakan bagi memudahkan penyaluran maklumat penting, terutama mengenai pergerakan bas, penginapan, kesihatan dan panduan ibadah haji kepada jemaah haji.

“TH akan cuba menyalurkan maklumat secara digital. Bagi jemaah yang berumur, masih boleh mendapatkan sedikit panduan daripada anak-anak untuk memuat naik aplikasi berkaitan urusan haji, terutama TH Hujjaj.

“Pelbagai maklumat akan disalurkan di situ, begitu juga dengan kenyataan semasa yang dikeluarkan oleh Arab Saudi. Insya-Allah, TH akan memastikan semua maklumat dapat disampaikan kepada bakal haji,” katanya.

Akibat pandemik Covid-19 ibadah haji ditangguhkan selama dua tahun untuk jemaah dari luar negara termasuk Malaysia, beliau berkata, disebabkan Kerajaan Arab Saudi mula memperkasa penggunaan secara atas talian pihaknya berpeluang membuat semakan semula dalam urusan dokumentasi.

Bagi menyantuni kira-kira 14,306 jemaah, seramai 340 petugas berpengalaman TH akan bertugas sepanjang musim haji kali ini.

-Diolah dan disunting dari Bernama

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button