GURIEL : Lebih 300,000 orang di wilayah Galgaduud, Somalia telah terjejas akibat kemarau teruk yang mencengkam sebahagian besar negara dan memaksa kerajaan persekutuan Somalia mengisytiharkan darurat.
“Makanan tidak mencukupi, air tidak mencukupi,” kata Pengerusi Majlis Wanita Guriel, Deeko Adan Warsame.
Pada hujung bulan Oktober, hujan pertama di Guriel setelah beberapa bulan seolah membawa harapan kepada penduduknya.
Namun, apabila kemarau menjelma, segalanya terhenti.
Keadaan lebih buruk apabila konflik saudara antara umat Islam dan tentera Somalia, mengorbankan puluhan penduduk Guriel dan memaksa kira-kira 100,000 penduduk tempatan melarikan diri ke daerah lain.
Pertempuran antara dua pihak itu memusnahkan beberapa bangunan termasuk hospital utama Guriel, Istarlin.
Hospital Komuniti Kulmiye merupakan hospital kedua terbesar di bandar itu turut musnah dalam kebakaran. Wad pusat kesihatan tersebut kini kosong tanpa bumbung dengan dinding hangus terbakar serta timbunan logam bertebaran di atas lantai.
“Saya tidak tahu bagaimana ingin menggambarkan perasaan saya apabila saya lihat hospital itu bertukar menjadi runtuhan,” kata Penyelia operasi di kawasan itu untuk Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Mohamed Sheikh Ahmed.
“Pertempuran mungkin sudah berakhir sekarang, tetapi kita akan merasakan akibatnya untuk masa yang lama.” tambahnya.
Selain itu, satu lagi kemudahan penting yang musnah adalah lubang gerudi tempatan di mana dua penjananya berhenti berfungsi selepas terkena peluru.
Lubang gerudi itu penting buat penduduk tempatan kerana ia membekalkan air kepada beribu-ribu orang dan haiwan ternakan.
“Anda boleh lari dari pertempuran, tetapi anda tidak boleh melarikan diri dari kemarau,” kata Warsame.
Pada 23 November, kerajaan persekutuan Somalia mengisytiharkan darurat susulan bilangan penduduk yang terjejas akibat kemarau terus meningkat.
Somalia merupakan salah satu negara yang paling terkesan di dunia apabila ia melibatkan kesan perubahan iklim.
Negara itu sentiasa terdedah kepada iklim yang melampau, tetapi sejak kebelakangan ini, kejadian cuaca sedemikian telah menjadi begitu kerap dan teruk sehingga tidak mempunyai masa untuk pulih.