Solat tanpa khusyuk ibarat badan tanpa roh
Oleh : Khai – Wartawan Pelatih Ummah Today
Solat yang khusyuk adalah apabila fikiran, hati dan perasaan tunduk patuh kepada Allah SWT sepanjang mengerjakan solat.
Hubungan dengan Allah akan menimbulkan rasa-rasa yang tertentu di dalam hati lalu membentuk hati yang akur, taat dan patuh kepada Allah.
Solat seorang mukmin yang berjaya dinyatakan dalam al-Quran:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”(al-Mu’minun: 1-2)
Langkah meraih khusyuk dalam solat
1. Faham setiap bacaan solat
“Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”
Ungkapan ini bermaksud kita digalakkan untuk memahami dan menghayati setiap pergerakan dan bacaan ketika mengerjakan solat. Ini dapat membantu mendapat khusyuk dalam solat dan solat akan sia-sia jika kita tidak memahami apa yang dibaca.
2. Solat dalam keadaan tenang
Baginda SAW bersabda:
“Sesungguhnya Nabi Saw masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah SAW menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.”(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Solat perlu dilakukan dengan tamakninah atara rukuk dan sujud. Apabila mengerjakan solat kita perlu lakukan dengan fokus dan berhati-hati.
Menghindarkan hal-hal lain dapat membantu fokus sepenuhnya kepada makna dan perbuatan dalam solat.
3. Memakai pakai yang cantik dan selesa
Jika anda keluar berjalan memakai pakaian cantik, mengapa tidak memakainya apabila mengerjakan solat?
Memakai pakaian yang selesa dan suci dapat membantu mencapai khusyuk dalam solat. Pilih pakaian yang longgar dan selesa agar tidak menggangu pergerakan dalam solat.
4. Rasa Khauf
Khauf bermaksud kagum dan takut akan keagungan Allah. Rasa takut akan timbul apabila seseorang gerun akan kemurkaan Allah.
Hasil daripada merasai kebesaran Allah ia akan timbul rasa takut dan kagum kepada-Nya.
Rasa takut yang dimaksudkan dalam solat adalah perbuatan berdiri yang betul, menundukkan kepala, mata melihat ke tempat sujud, rukuk serta sujud.
Oleh itu, untuk meraih khusyuk dalam solat, kita perlu berusaha menjadikan solat kita sempurna dan diterima Allah SWT.
Solat tidak khusyuk tidak perlu diulang tetapi rugi kerana nilai solat itu jatuh dan berkurangan.