Semasa

Solat Jumaat, solat fardu dibenarkan ikut kapasiti masjid – JAWI

KUALA LUMPUR : Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, memaklumkan ketetapan baharu jumlah  jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa esok.

Kehadiran jemaah dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan sosial 1.5 meter bagi semua aktiviti solat Jumaat, solat fardu dan solat berjemaah yang lain.

Menurutnya, kebenaran itu bagi menjunjung titah perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaras dengan perkembangan terkini Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Zohor, tazkirah sebelum solat Jumaat,

“Termasuk Tadarus Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin, tahlil, Program Zikir Munajat dan Doa tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan.” katanya.

Beliau juga berharap umat Islam khususnya terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan memanfaatkan peluang yang ada untuk mengimarahkan masjid dan surau.

“Semoga umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan memanfaatkan peluang tersebut untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir.” kata Ajib menerusi kenyataan rasmi di Facebook JAWI.

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button