Siswazah perlu terap konsep jadi pelajar seumur hidup
IPOH: Siswazah lepasan diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu menerapkan konsep menjadi pelajar seumur hidup dan beradaptasi dengan perkembangan dalam industri walaupun telah menamatkan pengajian.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata siswazah perlu menetapkan komitmen untuk menjadi pelajar seumur hidup dengan membaca buku, menghadiri seminar dan menyertai kursus yang berkaitan dengan perkembangan terkini dalam bidang diceburi.
Beliau berkata pemahaman yang mendalam akan memperkukuh reputasi profesional lepasan IPT dengan mencari peluang pembelajaran dan pertumbuhan intelektual.
“Jangan takut mencari peluang baharu untuk memperluas pengalaman dan pengetahuan anda. Jika ada kesempatan untuk menyertai projek-projek menarik, bekerja di luar negara atau belajar di institusi terkemuka, ambillah kesempatan ini dengan tangan terbuka“.
“Jaringan profesional yang kuat dapat memberikan peluang kerjasama, ‘mentorship’ dan informasi penting sekali gus membuka peluang kerjaya yang lebih luas,” katanya berucap pada Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-51 di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Zahari Ismail serta Pengarah PUO Dr Shamsuri Abdullah.
Seramai 2,062 graduan menerima diploma dan ijazah sarjana muda masing-masing sepanjang lima hari konvokesyen berlangsung.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata KPT mengiktiraf pentingnya pengalaman praktikal dan kerja lapangan dalam melengkapkan graduan dengan kemahiran praktikal serta pengetahuan industri yang relevan.
“Oleh itu, pelaksanaan program praktikal yang berkualiti, relevan, spesifik dan bermakna di industri menjadi fokus utama selain memperkukuh kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau berkata KPT mendorong kolaborasi antara IPT untuk berkongsi sumber, kepakaran dan pengalaman dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi.
Menurut Abdul Razak kolaborasi tersebut melibatkan pertukaran pelajar, penyelidikan bersama serta perkongsian program dan kursus.
“KPT menyediakan kursus pemantapan kemahiran bagi graduan dan pekerja profesional untuk mengasah kemahiran praktikal dan teknikal yang relevan dengan pasaran kerja,” katanya.