DomestikEkonomiSemasa

Sistem pendidikan masa kini , perlu ikut keperluan industri

Jeli : Bagi memenuhi kehendak industri dalam tenaga kerja berkemahiran, sistem pendidikan negara perlu perubahan ke arah pendigitalan yang disesuaikan dengan situasi semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kemahiran yang dimiliki tenaga kerja sudah tidak releven dengan kehendak industri, sekali gus menyebabkan majikan menawarkan gaji yang rendah disebabkan peredaran zaman berlaku secara dinamik.

“Pendigitalan dalam sistem pendidikan memang kita buat secara berterusan tambahan lagi kita sedang mengalami transformasi yang besar dalam tempoh 20 tahun ini menerusi peringkat rendah, menengah, vokasional dan universiti.

“Walaupun sudah banyak dilakukan perubahan, yang penting sistem ini perlu disesuaikan dengan keadaan semasa kerana ia dinamik, berubah cepat dan perlu sesuaikan dengan keperluan industri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kawasan rekreasi Bukit Salor, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, masa kini sudah ada industri tampil ke institusi kemahiran dengan memberikan kurikulum mereka sendiri, maka hubungan antara kedua pihak dapat ditingkatkan.

Mengulas lanjut, katanya, tawaran gaji yang tinggi oleh majikan akan terbantut sekiranya, isu kemahiran tenaga kerja masih rendah dan mungkin akan menjejaskan kemasukan pelabur.

“Hubungan institusi yang menyediakan kemahiran ini dengan pihak industri perlu dimantapkan kerana sudah ada beberapa kaedah, yang mana wakil syarikat pergi ke institusi latihan dengan menyediakan kurikulumnya sendiri. Jadi, kita perlu tingkatkan lagi hubungan.

“Kalau kita dapat pelaburan yang tinggi dan anak muda kita ada kemahiran dalam bidang yang diperlukan, sudah pasti akan dapat menikmati gaji yang tinggi,” katanya.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Dr Abdul Latif Abu Seman, dilaporkan berkata, Purata Tahun Persekolahan di kedudukan Malaysia menunjukkan kekurangan kemahiran dalam kalangan pekerja tempatan sehingga menyebabkan sumbangan gaji yang rendah oleh majikan.

Berdasarkan laporan ‘World Competitiveness Yearbook’ (WCY) oleh Institute of Management Development (IMD), beliau berkata, kedudukan Malaysia di tangga ke-25 untuk petunjuk Tenaga Buruh Mahir, menyumbang kepada kedudukan global yang agak rendah bagi petunjuk berkaitan produktiviti di tempat ke-33 dalam kalangan 64 ekonomi dunia.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button