DuniaSemasa

Operasi bas di Sri Lanka bakal dihentikan akibat krisis bahan api

NEW DELHI : Sebanyak 80 peratus bas persendirian di Sri Lanka terkesan tidak dapat untuk meneruskan beroperasi berikutan masalah kekurangan bahan api di negara itu.

Menurut laporan Daily Mirror, Setiausaha Persatuan Bas Persendirian Antara Wilayah, Anjana Priyanjith memaklumkan bahawa walaupun Ceylon Petroleum Corporation (CPC) telah menyambung semula pengedaran bahan api di Sri Lanka termasuk di Colombo, mereka mendapati ia masih sukar untuk mendapatkan diesel.

Sementara itu, Menteri Tenaga Kanchana Wijesekera dalam satu ciapan di Twitter berkata bagaimanapaun tidak lama lagi tiga kapal membawa bahan api dijadualkan akan tiba di Sri Lanka dalam tempoh dua minggu akan datang.

Untuk rekod, Sri Lanka kini sedang mengalami isu kekurangan bekalan tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain ekoran krisis kewangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Perdana Menteri baharu Ranil Wickremesinghe berdepan cabaran besar dalam menstabilkan ekonomi, undang-undang dan menjamin keamanan negara di tengah-tengah protes antikerajaan.

Menurutnya, kerajaan juga menghadapi masalah kewangan untuk membayar gaji 1.4 juta penjawat awam, dan akan beralih kepada pencetakan wang sebagai pilihan terakhir.

Sri Lanka telah memohon bantuan Dana Kewangan Antarabangsa dan salah satu tuntutan utama pemberi pinjaman antarabangsa adalah untuk Colombo melepaskan perusahaan negara seperti Sri Lanka Airlines yang mengalami kerugian melebihi satu bilion dolar.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button