Sesi persekolahan ditukar ke PdPR hingga Julai depan
Fokus kemahiran guru dan keberadaan pelajar

KUALA LUMPUR : Semua sesi persekolahan akan diubah kaedah pengajian secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 13 Jun dan 14 Jun depan.
Pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Md Jidin, berkata ketetapan itu terpakai di setiap jenis sekolah termasuk sekolah swasta, antarabangsa, mahupun, ekspatriat yang berdaftar di bawah Kementerian.
Menurutnya, sesi PdPR akan berlangsung untuk tempoh 25 hari sebelum cuti pertengahan penggal yang akan bermula 16 Julai dan 17 Julai depan.
“Tempoh PdPR ini akan berlangsung selama 25 hari iaitu sehingga cuti pertengahn penggal persekolahan bermula 16 Julai bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai negeri kumpulan B. Selepas itu semua murid akan bercuti pertengahan penggal sehingga 26 Julai bagi negeri kumpulan A dan 27 Julai bagi negeri kumpulan B.” – Datuk Radzi Md Jidin/ Menteri Kanan Pendidikan
Jelas beliau dalam Sidang Media Khas secara maya pada Ahad, status pengoperasian sekolah selepas tarikh tersebut akan dimaklumkan oleh KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.
Pada masa sama Kementerian tidak menolak kemungkinan untuk memberi keutamaan kepada murid yang menjalani peperiksaan untuk menghadiri sesi pengajian bersemuka jika ia dibenarkan kelak.
Dalam pada itu, aktiviti kurikulum lebih memfokuskan kepada kemenjadian murid secara keseluruhan. Oleh itu, konsep penjajaran kurikulum diwujudkan bagi menekankan kandungan asas kemudiannya kepada kandungan tambahan dan seterusnya kandungan pelengkap.
KPM turut menjamin pemantauan secara telus sepanjang PdPR dipertingkatkan terutamanya dari aspek kemahiran guru dan akses murid.
“Kita sentiasa berusaha memastikan semua guru dapat melaksanakan PdPR dengan baik, sebab itu dari masa ke masa kita terus memantau PdPR , bukan sahaja pihak sekolah, pejabat daerah pendidikan, jabatan pendidikan, malah KPM juga memantau PdPR ini bagi memastikan sebarang isu dapat diselesaikan,” – Datuk Radzi Md Jidin/ Menteri Kanan Pendidikan
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom